Perak pertimbang henti tebang balak jika hasil NR-REE lumayan
IPOH - Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbangkan untuk menghentikan penebangan hutan jika hasil perlombongan nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) memberikan pulangan lumayan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu bagaimanapun perlu kajian lanjut kerana selama ini balak merupakan antara penyumbang pendapatan hasil negeri melalui Jabatan Perhutanan.
Menurutnya, berdasarkan kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Perak, anggaran deposit NR-REE di negeri ini sebanyak 1.68 juta tan dengan nilai RM46.5 bilion.
"Semua sedia maklum selama ini pembalakan menyumbang kepada pendapatan negeri. Jadi kalau kita cukup kaya dengan NR-REE, jadi tak perlu potong balak sebab pokok ini perlu dipelihara untuk penghijauan kerana seluruh negara bercakap mengenai teknologi hijau.
"Jadi kerana itu saya tak boleh mengesahkan kita perlu tebang (hutan) atau tidak kerana bergantung kepada kajian," katanya kepada ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting) sempena Sidang Dewan Undangan (DUN) Perak pada Selasa.
Saarani berkata, ketika ini terdapat satu projek perintis perlombongan NR-REE yang sedang beroperasi di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak dengan keluasan 86.4 hektar.
Katanya, operasi projek perintis tersebut telah berjaya menjana hasil royalti sebanyak hampir RM16 juta kepada kerajaan negeri melibatkan 10 kali pengeksportan Rare Earth Carbonate ke China sehingga Julai 2023.
"Projek perintis ini turut membuktikan bahawa nadir bumi ini bukan radioaktif dan pengekstrakan melalui ‘in-situ leaching’ merupakan kaedah yang terbaik dan tidak mencemarkan alam sekitar.
"Ekoran kejayaan projek perintis ini, kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan perlombongan pada keseluruhan kawasan yang telah mendapat kelulusan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar) iaitu seluas 5,339 ekar (2,135.6 hektar)," katanya.
Tambah Saarani lagi, penilaian untuk pembukaan kawasan baharu bagi perlombongan NR-REE di Perak bergantung kepada suatu badan bebas melalui Jawatankuasa Audit yang dibentuk bagi tujuan pemantauan pelaksanaan projek perintis perlombongan NR-REE melibatkan 12 agensi teknikal dan penguatkuasaan.
Menurutnya, setakat ini hanya satu syarikat diberikan kebenaran untuk mengekstrak NR-REE bagi projek rintis berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!