Petaling, KL, Hulu Langat alami gangguan bekalan air berjadual 10 Oktober ini
SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat, bermula 10 Oktober depan.
Air Selangor dalam kenyataannya memberitahu, pelaksanaan kerja-kerja itu menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat bermula jam 9 pagi.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja itu dijangka siap pada jam 7 malam hari sama dan bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat-peringkat setelah kerja-kerja penambahbaikan serta penyenggaraan siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
"Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari pada 12 Oktober ini (Khamis)," kata kenyataan itu pada Selasa.
Sehubungan itu, katanya, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
"Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
"Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor," jelas kenyataan itu
Kenyataan itu turut memaklumkan, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air yang akan dibuka di Sunway Batu Caves dan Selayang Mutiara.
"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air," ujarnya.
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
Info grafik mengenai notis pemberitahuan awal gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat bermula 10 Oktober depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!