Kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman terbatal

Hafarizam (tengah) ketika sidang akhbar di Mahkamah Kuala Terengganu pada Selasa.
Hafarizam (tengah) ketika sidang akhbar di Mahkamah Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini pada Selasa menerima petisyen yang difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Menurutnya, pempetisyen yang juga pengundi iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar RM30,000 kepada pempestiyen.

Wan Mohamad Hisham diwakili sekumpulan peguam diketuai Datuk Hafarizam Harun serta Amin Othman dan Norhazira Abu Haiyan, manakala Che Alias diwakili peguam Saifuddin Othman dan Wan Rohimi Wan Daud.

Sementara itu, peguam petisyen, Hafarizam ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata, pembatalan Che Alias sebagai Ahli Parlimen Kemaman atas dua faktor disebabkan unsur sogokan wang dan meraih undi.

"Pada majlis pemberian bantuan Orang Kurang Upaya, pencen rakyat dan ibu tunggal selain bantuan i-Belia dan i-Siswa di sebuah dewan di mana seorang wakil rakyat untuk meraih undi. Jadi Hakim Pilihan Raya berpendapat wakil rakyat itu merupakan ejen kepada responden iaitu Che Alias.

"Jadi ianya satu kesalahan di bawah Seksyen 10 iaitu memberi wang bagi tujuan meraih undi. Atas alasan itu Hakim Pilihan Raya membuat keputusan untuk membatalkan pemilihan Che Alias.

Artikel Berkaitan:

"Alasan kedua terdapat aktiviti meraih undi bagi mendapatkan sokongan penerima bantuan i-Belia dan i-Siswa di sebuah dewan di Kerteh. Atas alasan dua inisiden itu, Hakim Pilihan Raya membuat keputusan pilihan raya Kemaman pada PRU15 lalu adalah terbatal," katanya.

Dalam pada itu berkata, hakim telah memanggil peguam utama kedua-dua belah pihak dan memaklumkan bahawa beliau tidak akan memberi apa-apa penangguhan sehingga 3 Oktober ini.

"Cuma hakim akan melewatkan pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selewatnya 3 Oktober ini tentang keputusan beliau pada hari ini.

"Jika sehingga 3 Oktober tiada permohonan untuk tangguhkan keputusan atau tiada rayuan (terhadap keputusan mahkamah hari ini), beliau (hakim) akan maklum keputusan hari ini kepada SPR pada 3 Oktober ini.

"Apa boleh saya nyatakan pada hari ini mahkamah telah membuat keputusan pemilihan Che Alias adalah terbatal, namun proses untuk memaklumkan pada SPR, kita tunggu sehingga 3 Oktober," katanya.

Pada 3 Januari lalu, Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 12 Februari, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan BN dan mengekalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi Parlimen tersebut.

Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemuka oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.

Ahmad tewas dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15.

Beliau yang merupakan Pengerusi UMNO Terengganu tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 27,179 undi.

Che Alias yang juga penyandang kerusi Parlimen itu memperoleh 65,714 undi, manakala Ahmad mendapat 38,535 undi.

Dua lagi pencabarnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi,, manakala Rosli Ab Ghani dari Pejuang memperoleh 506 undi.