Gabung data antara agensi untuk mudahkan rujukan
USAHA bagi menggabungkan data yang disimpan semua kementerian, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan berkanun serta syarikat milik kerajaan perlu dilaksanakan bagi menjana statistik yang boleh dimanfaatkan bagi memudahkan rujukan dibuat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, masalah utama timbul apabila data-data ini berlainan sistem terutamanya dari segi metodologi, standard, konsep dan definisi.
Menurutnya, usaha perlu diambil untuk menggabungkan data-data ini bagi menjana statistik yang dapat dimanfaatkan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pengumpulan data secara banci atau survei yang memerlukan kos yang tinggi.
“Statistik adalah sangat relevan dalam membantu kerajaan membuat keputusan berdasarkan data angka dan sains.
“Dalam mengumpul dan menganalisa data yang banyak, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan data yang disediakan adalah terperinci dan memenuhi kehendak pemegang taruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian bersempena Persidangan Statistik Malaysia ke-10, 2023 bertemakan ‘Merentasi Sempadan KDNK: Menuju Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’ bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada Selasa.
Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pengarah HRH Sultan Nazrin Shah Economic History of Malaya Project, Datuk Dr Richard Lette.
Jelasnya, keselamatan data adalah perkara yang sangat penting untuk ditangani.
“Cabaran dalam keselamatan data sangat berbeza dan ianya terus berkembang seiring dengan perkembangan teknologi dan cara baharu untuk mengakses dan memanipulasi data.
“DOSM perlu mengadaptasi strategi keselamatan data yang komprehensif,” ujarnya
Sementara itu Mohd Uzir berkata, Persidangan MyStats 2023 bertujuan menyediakan platform untuk ahli statistik, penyelidik, ahli ekonomi, pembuat dasar, ahli akademik dan media untuk mengetengahkan dan mengembangkan idea-idea baharu serta pemahaman bersama dalam bidang statistik.
“Ia juga bakal mewujudkan mewujudkan jalinan kerjasama dan rangkaian yang lebih baik dan ini dapat meningkatkan lagi keberkesanan analisis dan penggubalan dasar kerajaan yang dibuat berdasarkan fakta," katanya.
Tambahnya, platform itu juga mampu menjadi medium diskusi dan perkongsan maklumat bagi halatuju dasar kerajaan dalam pembangunan ekonomi berdasarkan statistik rasmi yang disebarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!