'Kenal betul-betul Pelangai', amanat terakhir Johari kepada Amizar
BENTONG - Pesanan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun menjadi pembakar semangat buat calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam untuk menabur khidmat kepada rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Amizar berkata, Allahyarham sering mengingatkannya agar mengenali secara dekat penduduk dan kawasan itu setiap kali mereka bertemu.
"Zar, kau kena kenal orang Pelangai, orang kena kenal kau siapa, kau kena kenal kawasan, kau kena kenal betul-betul Pelangai. Kata-kata arwah itu bila saya ingat semula bagaikan satu amanah untuk digalas, berjuang untuk mewarisi perjuangan yang ditinggalkannya, berkhidmat untuk rakyat di sini.
"Kata-kata itu jugalah menjadi kekuatan, pembakar semangat kepada saya untuk terus berjuang mempertahankan sejarah panjang BN di Pelangai ini. Saya akan berjuang habis-habisan untuk memastikan Pelangai kekal milik BN dan legasi Johari diteruskan,” katanya kepada Bernama.
Amizar, 50, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong berkata, beliau tidak menyangka kata-kata itu bagaikan satu pesanan ditinggalkan Johari kepadanya untuk mempertahankan kemenangan BN di Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, 7 Oktober ini.
Johari, 53, penyandang kerusi DUN Pelangai, meninggal dunia akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, Amizar berkata, mereka berdua akrab dan kerap bertemu dengan kali terakhir adalah kira-kira tiga atau empat minggu sebelum tragedi pesawat berkenaan.
"Setiap kali kami bertemu, tidak lekang dari bibir arwah untuk berbicara mengenai Pelangai, jiwanya amat cintakan Pelangai, beliau bertekad menjadikan Pelangai satu tempat yang hebat untuk didiami, banyak perancangan.
"Dalam semua perancangan itu, beliau banyak berbincang, berkongsi dan meminta pendapat saya untuk sebarang penambahbaikan. Jadi secara tidak langsung blueprint yang arwah tinggalkan itu saya cukup tahu, faham dan kini masa dan peluang untuk saya teruskan dan realisasikannya demi Pelangai,” katanya.
Menurutnya, antara perancangan Johari yang beliau mahu pastikan terlaksana demi pembangunan Pelangai adalah pembinaan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) melibatkan Karak ke Simpang Pelangai.
Amizar berkata projek berkenaan sekiranya dilaksanakan akan memberi impak besar kepada Pelangai terutama dalam aspek limpahan dan kemakmuran ekonomi.
LTU atau sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Central Spine Road (CSR) menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong, kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.
Pada Mei lepas, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam peringkat menyediakan reka bentuk jajaran laluan bagi projek LTU dari Karak ke Simpang Pelangai.
Selain itu, Amizar berkata, beliau dan Johari merupakan pemimpin UMNO dibentuk daripada didikan guru yang sama iaitu bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
"Kami dua-dua hasil didikan Long Nan (Adnan), yang juga pernah menyandang kerusi DUN Pelangai, jadi tune kami tidak jauh beza, ideologi, cara kerja kami juga sama dan saya yakin ia akan membantu saya meneruskan khidmat Johari di Pelangai dengan sempurna,” katanya.
PRK Pelangai menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!