FAMA tingkat pengedaran beras tempatan kepada 1,100 tan metrik

Foong Hin (dua dari kiri) meninjau jualan beras di Pusat Operasi FAMA Senawang pada Selasa.
Foong Hin (dua dari kiri) meninjau jualan beras di Pusat Operasi FAMA Senawang pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan kapasiti pengedaran beras putih tempatan (BPT) daripada 400 tan metrik (MT) sebulan kepada 1,100 MT bagi memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, sehingga kini FAMA telah mengedarkan 400 MT BPT ke 35 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara.

Menurutnya, FAMA adalah salah satu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang digerakkan untuk membekalkan beras tempatan yang mencukupi bagi kegunaan penduduk setempat.

"Keseluruhan 400 MT yang diperuntukkan untuk bulan ini sudah habis kita gunakan (jual).

"Justeru, kita tambah lagi kepada 1,100 MT dan ia sudah dipersetujui. Bagi pihak FAMA, ia mencukupi buat masa ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau jualan beras di Pusat Operasi FAMA Senawang, di Kawasan Perindustrian Senawang, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.

Media sebelum ini melaporkan FAMA akan meningkatkan jumlah jualan BPT sebanyak dua kali ganda daripada 244 kepada 400 hingga 450 MT.

Dalam pada itu, Foong Hin berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan FAMA lebih-lebih lagi kaedah jualan yang dilaksanakan dilihat lebih teratur dengan tatacara yang ditetapkan.

"Untuk hari ini saya nampak teratur bagi jualan BPT yang berlangsung di sini. Ada tatacara untuk jaga keamanan ketika membeli.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan juga semakin reda berbanding minggu lepas, jadi tidak timbul isu kekecohan yang berlaku di sesetengah tempat seolah BPT habis stok. Ini tanggapan yang salah.

"Kita masih ada stok BPT yang selalu kita akan pastikan logistiknya akan sampai di lokasi kita perlukan," katanya.

Sementara itu, ujar Foong Hin hasil tuaian padi di Kedah kini sudah mencapai 25 peratus dan kemuncaknya pada pertengahan Oktober depan yang mana dapat meningkatkan bekalan BPT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!