Bunuh kekasih hamil: Permohonan tertuduh rujuk psikiatri ditolak

Tertuduh diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Selasa.
Tertuduh diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini menolak permohonan peguam bela seorang pemuda didakwa membunuh kekasihnya yang hamil empat bulan pada Mei lalu supaya merujuk kes itu kepada hospital psikiatri.

Majistret Siti Hajar Ali berkata, mahkamah telah meneliti permohonan dibuat pihak pembelaan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, pada 3 Ogos lalu.

"Selepas menelitinya mengikut peruntukan 342 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah berpendapat permohonan itu hendaklah diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi.

"Penolakan permohonan di peringkat ini juga tidak akan memprejudiskan hak tertuduh yang boleh diwakili peguam bela dalam setiap masa," katanya semasa prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini pada Selasa.

Beliau memberitahu, pihak pembelaan boleh membuat permohonan itu pada bila-bila masa di Mahkamah Tinggi yang akan menjalankan perbicaraan kes berkenaan.

Peguam Bela, Muhammad Nor Tamrin sebelum ini mengemukakan permohonan merujuk tertuduh kepada psikiatri dengan mengambil kira faktor 'natural case' yang didakwa dilakukan anak guamnya dan keterangan terbaharu berkaitan keadaan mental.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri memohon tempoh bagi menyediakan laporan kes berkenaan.

Siti Hajar kemudian menetapkan 7 November depan bagi sebutan semula kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum prosiding itu, Muhammad Fakrul Aiman berbaju T putih dan bercermin mata dibawa anggota polis ke mahkamah itu kira-kira jam 10.15 pagi.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira jam 8.30 malam pada 22 Mei sehingga jam 8 pagi 23 Mei lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak kejam dengan membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar di sini.

Mangsa yang berusia 21 tahun dibunuh kerana teman lelakinya mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi, 23 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!