HLISB terima Anugerah Kecemerlangan GIFA
HONG LEONG Islamic Bank (HLISB) telah menerima Anugerah Kecemerlangan GIFA (Perbankan Islam) sempena Global Islamic Finance Awards (GIFA) ke-11 2023 yang diadakan di Senegal.
GIFA merupakan salah satu anugerah terkemuka dalam dunia Perbankan dan Kewangan Islam yang diberikan untuk mengiktiraf prestasi dan sumbangan cemerlang dalam mempromosikan tanggungjawab sosial, pematuhan kepada ketulenan Syariah dan komitmen terhadap perbankan Islam.
Pengiktirafan tersebut menunjukkan dedikasi HLISB terhadap inovasi dan transformasi digital dalam ruang perbankan Islam, serta pelaksanaan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) merentasi semua bidang operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, bank tersebut berbesar hati menerima anugerah berprestij itu yang membuktikan komitmennya dalam menyokong pelanggan melibatkan bidang keusahawanan, perbankan komuniti dan rangkuman kewangan di seluruh sektor perbankan Islam.
“Di HLISB, kami komited untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai kepada pelanggan dan pengantara kewangan berkesan yang berusaha meneroka perkembangan terkini untuk memastikan kami kekal sebagai peneraju pasaran dalam pengurusan kekayaan Islam, sektor Halal dan pengantaraan pelaburan.
“Sejajar dengan janji kami untuk mengetengahkan keperluan pelanggan, kami ingin terus menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan khusus dan gaya hidup pelanggan kami.
"Kami berhasrat menjadikan perbankan Islam lebih mudah diakses, inovatif dan mampan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, HLISB telah mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat mengenai kewangan dan memajukan perniagaan mereka.
“Dalam usaha mengembangkan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai sepanjang tahun lalu, HLISB telah melancarkan satu inisiatif dengan kerjasama SURI iaitu sebuah perusahaan sosial yang memperkasakan golongan ibu yang berpendapatan rendah dengan peluang keusahawanan,” katanya.
Sementara itu, Dafinah berkata, selaras dengan memperluaskan lagi tawaran VBI, HLISB juga telah melancarkan program kewangan sosial, HLB Jumpstart - Perniagaan Mikro pada tahun lepas.
“Menerusi HLB@Kampung HLISB pula, bank telah membantu menyepadukan ekosistem kewangan digital di bandar-bandar kecil di seluruh negara.
"Kami melengkapkan perniagaan tempatan dengan kemudahan perbankan digital dan memperkasakan mereka untuk menerima pembayaran tanpa tunai dan mengembangkan keupayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, bank juga melancarkan kempen pelancongan "Visit Sekinchan Year 2023” di Sekinchan, Selangor pada awal tahun ini.
“Kami telah melengkapkan 258 perniagaan tempatan dengan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai seperti Kit Permulaan HLB DuitNow yang mengandungi kod QR DuitNow dan Terminal Pembayaran “All-In-One”, secara langsung melengkapkan komuniti dengan ekosistem pembayaran digital yang lancar.
“Bank juga akan meneruskan transformasi digital ini di seluruh Malaysia dengan menjadikan Pasar Tamu Donggongon, Sabah dan daerah Kinta dan Manjung di Perak sebagai “Kampung Tanpa Tunai”,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!