Impian mahu jadi pendakwah berkecai
RANTAU PANJANG - Impian mulia seorang anak muda untuk menyebar luas ilmu ALLAH dengan menjadi pendakwah bebas 'berkecai' apabila dia lumpuh selepas motosikal yang ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah lori pasir di Kampung Pelahap, Jeli pada 22 Disember lalu.
Kejadian jam 9.20 malam itu bukan sahaja menyebabkan Mohd Norfainuzuraimi Zulkifli, 22, lumpuh malah dia turut disahkan menghidap penyakit saraf pada kaki kiri.
Lebih memeritkan lagi, dia terpaksa menjelaskan bayaran bulanan ansuran motosikalnya berjumlah RM160 selain belanja untuk rawatan susulan.
"Saya bergantung sepenuhnya kepada bapa Zulkifli Isa, 54, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial untuk menampung perbelanjaan tersebut.
"Selain itu, bapa juga perlu menyara enam lagi adik yang masih kecil dan bersekolah," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baroh Pial, dekat sini semalam.
Mohd Norfainuzuraimi berkata, sejak kemalangan itu kehidupan harian dia diuruskan sepenuhnya oleh ibu, Mariam Jusoh,49.
Katanya, sejak kejadian itu dia sudah empat bulan terlantar dan menghabiskan masa diatas katil selepas tidak lagi boleh bergerak.
"Doktor sahkan tulang pinggul saya di bahagian kiri patah manakala tulang paha kanan retak," katanya.
Mohd Norfainuzuraimi berkata, sebelum kejadian dia ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi membeli sebuah motosikal pada November tahun lalu.
Katanya, untuk menjadi seorang pendakwah, dia perlu memiliki sebuah kenderaan kerana perkara itu menjadi salah satu syarat bagi mendapatkan tauliah mengajar di masjid dan majlis-majlis ilmu.
"Selepas bekerja selama dua bulan, saya dapat membeli sebuah motosikal secara ansuran. Keesokan harinya (selepas membeli motosikal) saya membuat keputusan untuk pulang ke kampung bagi mendapatkan tauliah sebagai pendakwah yang sudah lulus.
"Saya pulang ke kampung bersama abang dengan menunggang motosikal secara berasingan. Setiba di Kampung Pelahap, saya telah terlibat dengan kemalangan selepas sebuah lori pasir membuat pusingan U secara mengejut tanpa memberikan sebarang isyarat," katanya.
Mohd Norfainuzuraimi yang merupakan bekas pelajar Madrasah Darul Muktaqim (Tanah Merah) dan Madrasah Ayah Su (Kampung Jenal, Jeli) berkata, dia tidak sempat untuk memanfaatkan tauliah itu dengan mengajar ilmu agama kepada masyarakat.
Katanya, bagaimanapun dia tetap berdoa akan diberikan kesembuhan bagi merealisasikan impian itu.
Orang ramai yang ingin membantu Mohd Norfainuzuraimi boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik ibunya, Mariam Jusoh (03-054-02-077723-7).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!