Perak beri insentif dua atlet boling padang harum nama negara

Khairudin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Aleena dan Izzat yang memenangi pingat di Kejohanan Dunia Boling Padang di pejabatnya di sini pada Selasa.
Khairudin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Aleena dan Izzat yang memenangi pingat di Kejohanan Dunia Boling Padang di pejabatnya di sini pada Selasa.
A
A
A

KERAJAAN negeri Perak akan menyediakan insentif kepada dua atlet boling padang yang mengharumkan negara apabila memenangi pingat di Kejohanan Boling Padang Dunia di kelab Broadbeach Bulls, Gold Coast, Australia pada 9 September lalu.

Aleena Nawawi memenangi pingat emas bagi kategori berpasangan wanita dalam acara tersebut manakala Izzat Dzulkeple mendapat pingat gangsa bagi kategori berpasangan lelaki ketika kejohanan tersebut.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, pencapaian tersebut begitu tinggi dan bukan sahaja membanggakan negara tetapi negeri kerana kedua-dua atlet itu berasal dari Perak.

Menurutnya, kejayaan itu juga sekali gus mewajarkan mereka untuk menerima insentif daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan kepada mereka.

"Kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini menzahir ucapan tahniah dan syabas atas pencapaian yang gilang-gemilang khususnya kepada dua anak Perak yang berjaya menaikkan nama Malaysia dan sudah tentulah selaku wakil kerajaan negeri bersama dengan Majlis Sukan Negeri cukup berbangga dengan pencapai ini.

"Kerajaan negeri juga akan memberikan insentif berdasarkan kepada keputusan mesyuarat pengurusan dan saya juga akan membawa ke dalam mesyuarat exco nanti untuk kita angkat bahawa pencapaian kedua-dua ni perlu dihargai dan juga sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan kepada pencapaian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada dua atlet Perak yang berjaya memenangi pingat ketika Kejohanan Dunia Boling Padang di pejabatnya di sini pada Selasa.

Sementara itu, Aleena yang ditemui media mengakui berdepan cabaran dan kesukaran sebelum memenangi pingat emas pertama sepanjang karier bagi kejohanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dia sebelum ini pernah memenangi pingat emas bagi sukan berkenaan ketika di Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, dengan kejayaaan memenangi emas ketika kejohanan dunia itu, sasaran seterusnya adalah di Sukan SEA di Thailand pada tahun 2025.

Bagi Ketua jurulatih boling padang kebangsaan Zuraidi Puteh, atlet-atletnya perlu diberikan pendedahan yang lebih luas dengan membawa mereka menjalani latihan di luar negara.

"Kebanyakan pemain bertaraf dunia banyak berkelana di luar negara terutama di Australia dan mereka (atlet boling padang) juga adalah pelajar-pelajar universiti, pelajar yang cemerlang dan kita cuba mempercepatkan mereka di universiti di luar negara untuk mereka bertanding di sana untuk kesinambungan latihan dan kejayaan mereka.

"Kejayaan memenangi pingat di kejohanan dunia ini membuktikan bahawa Malaysia setanding dengan negara-negara lain walaupun kita negara kecil tetapi kita berjaya berada di peringkat dunia," katanya.

TAMAT

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!