Simbah anak air panas kerana habiskan data internet
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Gara-gara gagal mengawal marah, seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini pada Selasa atas tuduhan menyimbah air panas ke atas anak kandungnya hingga parah kerana mangsa menghabiskan data internet.
Tertuduh berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.
Tindakan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Sungai Udang, di sini kira-kira jam 2.56 pagi, pada 27 Jun tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Tertuduh berang selepas mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik telah menghabiskan data internet di telefon bimbit miliknya.
Suri rumah itu turut didakwa sering memukul anaknya namun perbuatan tersebut terbongkar setelah rakan mangsa menyedari terdapat kotoran seperti kesan luka pada baju sekolah dipakai mangsa.
Remaja itu kemudian memaklumkan kepada ibunya, sebelum individu terbabit membuat laporan polis.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon agar jaminan tidak dibenarkan kerana mangsa dan tertuduh menetap di tempat yang sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan bagi jaminan.
Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan dan menetapkan 26 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!