Banjir: Ada penduduk enggan pindah ke PPS

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

CHANGLUN - Penduduk yang rumah mereka dinaiki air akibat banjir yang berlaku di beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu diminta segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) demi keselamatan diri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Saadiah Saad berkata, rondaan yang dilakukannya hari ini mendapati terdapat mangsa yang enggan berpindah ke PPS walaupun rumah mereka telah dinaiki air melebihi paras pinggang.

"Keadaan hujan masih berterusan sejak semalam dan ada beberapa kawasan yang telah dinaiki air. Jadi, kita minta dan seru supaya mangsa banjir berwaspada, kalau rumah tidak selamat untuk didiami terutamanya yang terletak di tepi sungai, pindahlah ke PPS untuk keselamatan.

"Sekiranya mereka berpindah ke PPS, ia memudahkan agensi yang terlibat untuk mendapatkan data dan jumlah tepat mangsa yang terjejas bagi memudahkan agihan bantuan sewajarnya dilakukan,” katanya kepada pemberita ketika melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam meminta masyarakat terutamanya golongan ibu bapa untuk lebih peka dengan keselamatan diri serta anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dalam situasi banjir itu.

"Semasa rondaan tadi, saya lihat ada anak-anak ini yang sedang bermain air banjir, sudah jadi macam pesta pula... ibu bapa kena jaga keselamatan anak masing-masing dan tidak boleh salahkan orang lain sekiranya berlaku apa-apa.

"Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SMK Changlun semakin bertambah dan saya difahamkan ada satu lagi PPS baharu akan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain jumlah mangsa banjir di PPS SMK Changlun itu meningkat kepada 123 orang daripada 36 keluarga setakat tengah hari tadi, berbanding 61 orang daripada 18 keluarga pada pagi tadi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!