Trend nikah bawah umur di Selangor berkurang
SEKINCHAN - Trend perkahwinan bawah umur di Selangor dilaporkan berkurangan sejak tahun 2018 susulan penyusutan permohonan nikah yang diterima Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengarahnya, Datuk Haris Kassim berkata, pada tahun lalu pihaknya menerima hanya 68 permohonan nikah berbanding tahun sebelumnya sebanyak 102 permohonan.
Beliau berkata, bagi setakat Mei lalu, pihaknya menerima enam permohonan untuk kelulusan dari mahkamah syariah.
"Ini menunjukkan masyarakat kini lebih sedar dan cakna tentang konsep perkahwinan dalam perspektif Islam.
"Di dalam prinsip maqasid syariah, jelas mengetengahkan konsep ketenangan dan berkasih sayang dalam situasi keluarga yang sejahtera dan bahagia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat, penyampaian sumbangan dan perasmian masjid, di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini, semalam.
Haris berkata, nilai perkahwinan itu amat tinggi apabila ia dilihat sebagai peranan manusia iaitu khalifah di atas muka bumi.
"Maqasid syariah itu sendiri membawa maksud sebagai melakukan kebaikan atau manfaat serta menolak keburukan dan juga menghilangkan mudarat.
"Apabila prinsip ini dihayati secara teliti, maka pasangan yang ingin berkahwin pastinya akan membuat keputusan yang tepat apabila mereka sudah jelas dan faham maksud perkahwinan yang sebenarnya dalam Islam," katanya.
Terdahulu, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (Pindaan 2018), Bahagian II (Perkahwinan) Seksyen 8 telah dikuatkuasakan pada 15 Mac lalu dengan menaikkan had minimum umur 16 tahun kepada 18 tahun bagi perempuan yang boleh berkahwin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!