Belanjawan 2024: KPWKM fokus tingkat latihan ekonomi penjagaan

Nancy - Foto Bernama
Nancy - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) antara lain akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan latihan dan bimbingan dalam aspek ekonomi penjagaan pada Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, komitmen itu penting untuk memenuhi permintaan pasaran selain memastikan individu terlibat dalam ekonomi penjagaan, yang merujuk kepada pekerjaan menyediakan perkhidmatan bagi membantu individu memerlukan, adalah daripada kalangan terlatih dan berkemahiran.

"Ini kerana ada yang mengatakan tidak ada orang untuk diberi pekerjaan bagi menjaga orang yang memerlukan (seperti) orang kurang upaya (OKU) termasuk kanak-kanak dan orang tua.

"Justeru, ini antara fokus kita untuk melahirkan mereka yang menjadi penjaga adalah orang yang terlatih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penjanaan Pendapatan Wanita (Wejana) 2023 Sabah di sini hari ini.

Nancy berkata, kementeriannya turut komited untuk terus memperkukuh '2 Year Exit Programme' (2YEP) bagi membantu lebih ramai golongan wanita terlibat dalam perniagaan seterusnya menjana ekonomi dan pendapatan.

Mengenai Wejana 2023, Nancy berkata, program itu memberi fokus kepada golongan suri rumah yang terlibat dengan penjagaan tanpa gaji supaya mereka mampu memperoleh pendapatan dan pada masa sama menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.

Beliau berkata, objektif utama program itu ialah untuk membimbing peserta menjana sekali gus meningkatkan pendapatan kendiri dan memberi latihan sistematik bagi memulakan perniagaan khususnya dalam talian.

Menurutnya, 35 daripada 200 peserta terpilih menyertai program itu adalah dari Sabah, dengan empat aspek diketengahkan dalam modul bimbingan iaitu pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, penjenamaan perniagaan serta perkhidmatan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Nancy berkata, Wejana juga adalah antara komitmen kementeriannya untuk menyediakan ekosistem yang menyokong usaha meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi selain bantuan kewangan bagi program Wanita Bangkit menerusi Yayasan Kebajikan Negara.

"Ini adalah kesinambungan program pemerkasaan wanita dilaksanakan secara strategik melalui agensi KPWKM bagi menjana pendapatan kaum wanita dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!