Kerajaan Johor ditadbir BN perlu kekal sehingga PRU16

Dari kiri: Tian Soon, Jefridin, Abdul Halim
Dari kiri: Tian Soon, Jefridin, Abdul Halim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kestabilan Kerajaan Johor di bawah pentadbiran Barisan Nasional sepatutnya dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Rata-rata pemimpin BN negeri berkongsi pandangan yang sama dan menjelaskan hubungan baik bersama Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya dirosakkan dengan membangkitkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kerajaan negeri yang ada ketika ini perlu dikekalkan sehingga PRU16 termasuk barisan Exco sedia ada tidak perlu dirombak.

"Janganlah kita rosakkan hubungan sedia ada dengan cadangan Kerajaan Perpaduan. Hubungan antara BN dan PH di Johor ketika ini amat baik.

"Kekalkan kerajaan negeri sedia dan selepas PRU16 nanti, baru kita cari mekanisme baharu bersama-sama," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hubungan BN dan PH kini adalah atas dasar kepercayaan antara satu sama lain malah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakili PH turut mendapat peruntukan yang sama.

"Semua pihak perlu faham bahawa kerajaan negeri Johor ditubuhkan sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

"Jika status quo kerajaan negeri sedia ada diubah akan wujud perkara yang tidak disenangi termasuk kestabilan negeri terganggu.

Artikel Berkaitan:

"Kita kini sudah pun dapat tangani kesangsian DAP terhadap UMNO dan begitu juga kesangsian UMNO terhadap DAP sebelum ini," katanya.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, menyatakan pendirian tidak bersetuju sama sekali dengan gesaan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan itu berkata, kemenangan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang dijadikan sandaran kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor bukan faktor yang kuat kerana ia tidak menunjukkan realiti sebenar di negeri ini.

"Pada PRN Johor Mac tahun lalu, BN mendapat 40 kerusi dengan majoriti besar dua pertiga. Setakat ini kerajaan negeri cukup stabil dan menarik jumlah pelaburan yang agak tinggi.

"PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram merupakan permulaan untuk kami bergerak bersama. Namun kedua-dua PRK ini tidak boleh menunjukkan apa yang berlaku di Johor hari ini.

"Pada saya, lebih baik kita kekal dengan apa yang ada sekarang. Kekalkan kestabilan untuk Johor," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) DUN Johor, Datuk Jefridin Atan berkata, barisan Exco dibentuk hasil daripada kemenangan pada PRN Johor lalu.

"Saya berpandangan sekiranya kita hendak bekerja untuk rakyat bukan perlu meminta jawatan Exco. Kerajaan negeri sebenarnya sudah menerima ADUN PH dengan pelbagai ruang diberikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Kerajaan negeri terima mereka secara terbuka sebagai pasukan Kerajaan Perpaduan tetapi tidak semestinya mereka perlu duduk jawatan Exco," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masing-masing satu kerusi.

Seterusnya, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 2 kerusi dan Pas (satu kerusi).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!