Kerajaan perlu perkenal dasar baharu, henti seludup rokok

Foto kecil: Fazli
Foto kecil: Fazli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani perlu melaksanakan langkah inovatif dengan memperkenalkan dasar baharu yang berkesan bagi menghentikan masalah rokok seludup.

Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri, Datuk Fazli Nordin berkata, ini kerana tindakan penguatkuasaan seperti rampasan dan serbuan sahaja tidak akan menyelesaikan isu tersebut sepenuhnya.

Katanya, penyeludupan rokok di Malaysia sebanyak 55.3 peratus pada Mei 2023 telah menyebabkan kerugian kira-kira RM5 billion cukai tidak dikutip setiap tahun.

"Tidak dinafikan usaha yang dilakukan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang kita untuk mengurangkan masalah rokok seludup harus dipuji namun, memandangkan masalah itu kekal sistemik dan berakar umbi, usaha mereka adalah seperti cuba memindahkan gunung menggunakan sudu.

"Oleh itu, kerajaan harus mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan idea dan langkah untuk menangani permintaan rokok seludup yang murah ini," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Fazli, terdapat beberapa langkah dibuat dalam Bajet 2021 untuk menangani pembekalan rokok seludup ke negara termasuk larangan pemindahan kapal.

"Walaupun langkah-langkah ini membawa beberapa penambahbaikan tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi masalah rokok seludup sekali gus menghentikan ketirisan besar-besaran dalam ekonomi kita.

“Malangnya, tiada langkah atau dasar baharu yang diperkenalkan dalam Bajet 2022," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fazli, rokok seludup yang dijual pada harga purata RM6 sebungkus adalah jauh lebih menarik berbanding rokok sah yang dijual pada harga paling rendah RM12 sebungkus.

"Perbezaan harga ini merupakan antara punca utama yang menyebabkan rokok seludup berkembang pesat di Malaysia.

''Saya bersetuju dengan komen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Afif Bahardin yang menyatakan bahawa aspirasi kerajaan mengharamkan rokok untuk generasi akan datang di bawah dasar Generasi Penamat akan berakhir dengan kegagalan kerana tahap perdagangan rokok tidak sah hari ini.

Beliau turut berpendapat agar kerajaan perlu belajar daripada sejarah.

"Dasar larangan hanya akan menguntungkan perdagangan haram, memperkayakan penjenayah dan menyebarkan rasuah di institusi awam kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!