Engku Emran-Nabila cerai, Erra Fazira pula dipersalahkan
NAMA penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira tidak semena-mena terkait dalam kes penceraian bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan Noor Nabila Mohd Noor.
Semuanya gara-gara hantaran biadab pengendali akaun di media sosial yang menuduh bekas ratu cantik itu menjadi punca Engku Emran dan kakak Neelofa itu bercerai.
“Jangan macam ini... Nak sensasi pun, jangan buat fitnah!
“Saya tak pernah memberi sebarang komen sebegini,” tegasnya.
Dalam hantaran yang dimuat naik menerusi Insta Story miliknya, pengendali akaun media sosial itu mendakwa Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek mendedahkan perangai sebenar Engku Emran.
Tegas pelatun lagu Pasrah itu, dia menghormati privasi bapa kepada anaknya dan pasangan serta meminta semua pihak tidak mempersendakan perjalanan hidup orang lain.
“Jangan persendakan perjalanan hidup seseorang bilamana kita sendiri tak tahu nasib dan perjalanan kita kelak,” ujarnya.
Semalam, Engku Emran, 48, melafazkan talak satu terhadap Noor Nabila, 39, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seminggu selepas kisah rumah tangga menjadi perhatian umum apabila Nabila mendedahkan suaminya menyatakan hasrat untuk tidak lagi meneruskan hubungan rumah tangga mereka.
Engku Emran dan Nabila berkahwin pada 19 Mac 2021 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
Sebelum menikahi Noor Nabila, Engku Emran mendirikan rumah tangga dengan Erra pada 25 Oktober 2007 dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya. Mereka kemudiannya bercerai pada 18 Februari 2014.
Selepas tiga tahun menduda, Engku Emran berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September 2017, tetapi perkahwinan itu hanya bertahan selama tiga tahun.
Sementara itu, Noor Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.
Sebelum menikahi Sharnaaz, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!