Cheong Min tuai pingat perak pertama Malaysia
ATLET wusyu, Tan Cheong Min menyumbang pingat perak pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi acara nanquan dan nandao wanita hari ini.
Ia merupakan pingat sulung Cheong Min di temasya sukan berkenaan pada penampilan keduanya, selepas menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara sama pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Pada aksi akhir di Pusat Sukan Xiaoshan Guali di sini, gerak tangkas penuh konsentrasi atlet berusia 25 tahun itu membolehkan beliau mengumpul keseluruhan 19.419 mata untuk mengesahkan tempat kedua.
Emas menjadi milik jagoan China, Chen Huiying yang mengutip keseluruhan 19.590 mata manakala wakil Uzbekistan Darya Latisheva membawa pulang gangsa selepas mengumpul 19.403 mata.
Kejayaan dilakar Cheong Min menyaksikan kem wusyu negara akhirnya berjaya menamatkan kemarau 13 tahun tanpa pingat di Sukan Asia selepas kali terakhir disumbangkan Chai Fong Ying yang meraih emas acara taijiquan dan taijijian pada edisi 2010 di Guangzhou, China.
Sebagai rekod, Cheong Min yang juga juara dunia 2019 dalam acara nandao merangkul dua pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023, Mei lepas masing-masing dalam acara sama dan nanquan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!