Sinar Karangkraf serah sumbangan kali kedua buat Sufi Syafrina
KUALA LUMPUR - Sinar Karangkraf menyerahkan wang sumbangan kedua berjumlah RM200,000 kepada keluarga bayi berusia lapan bulan, Sufi Syafrina Mohd Shafiq yang menderita penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaannya, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sumbangan tersebut adalah hasil daripada bantuan pelbagai pihak dan juga pembaca setia Sinar Harian.
Menurutnya, walaupun jumlah yang disasarkan masih jauh, namun mereka tetap optimis membantu mendapatkan dana untuk Sufi Syafrina.
"Kami memang berharap dapat membantu secara terus untuk mendapatkan kutipan sebanyak RM9 juta, tetapi saya yakin kita mampu mengutip sekurang-kurangnya RM500,000 atau RM1 juta bagi membantu mereka.
"Kos rawatan yang ditanggung untuk mendapatkan ubat adalah lebih RM45,000 dan saya minta semua pihak dapat membantu selamatkan nyawa bayi ini," katanya kepada ketika menyerahkan sumbangan kepada keluarga Sufi Syafrina di Hospital Tunku Azizah, di sini pada Selasa.
Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan penderitaan anak bongsu daripada tiga beradik itu dan melancarkan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina bagi mengumpul sumbangan RM9 juta untuk suntikan Zolgensma.
Sufi kini bergantung kepada ubat Risdiplam yang berharga RM40,300 untuk tempoh 35 hari bagi mengekalkan tahap kesihatan, selain rawatan bioterapi di Hospital Shah Alam tiga hingga empat kali seminggu.
Mengulas lanjut, menurut Nik Justin, tabung bantuan tersebut tidak akan ditutup, sebaliknya tetap diteruskan.
Ujarnya, dengan sumbangan orang ramai sedikit sebanyak dapat membantu bayi tersebut mengekalkan kesihatan yang baik dan meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.
"Ini merupakan peluang terbaik kepada semua pihak termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama membantu agar Sufi Syafrina boleh membesar dengan sihat," ulasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, sumbangan tersebut akan diteruskan dan diagihkan secara berperingkat kepada keluarga bayi itu.
Menurutnya, pihak syarikat akan terus membantu mengemaskini keadaan Sufi Syafrina dari masa ke masa agar orang ramai dapat melihat perkembangan semasa anak kecil tersebut.
"Kita akan terus memberikan sumbangan kepada keluarga secara berperingkat bagi meneruskan usaha murni ini.
"Kepada rakyat Malaysia di luar sana yang mungkin mempunyai kelebihan dan kemampuan diharapkan dapat bersama-sama membantu kanak-kanak penghidap penyakit ganetik kerana kosnya terlalu tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!