Dakwaan Bukit Bendera disenarai 100 'perangkap pelancong' tak benar - Exco
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan artikel terbitan USA Today yang menyenaraikan Bukit Bendera dalam 100 'perangkap pelancong' terbesar di seluruh dunia.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kenyataan yang dibuat dalam artikel bertarikh 24 Ogos itu sama sekali tidak benar berikutan hanya dibuat berdasarkan 24 ulasan buruk yang diambil secara rawak.
Menurutnya, selain itu, pengumpulan data pula hanya diambil daripada ulasan menggunakan satu bahasa sahaja.
"Artikel itu tidak mengambil dari ulasan yang dibuat dalam bahasa lain antaranya bahasa Melayu, Tamil, Mandarin, Arab dan sebagainya serta tinjauan dibuat sangat terhad.
"Rumusan dibuat hanya berdasarkan 24 komen buruk mengenai Bukit Bendera sedangkan jumlah ulasan baik lebih banyak daripada ulasan berkenaan (buruk)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Hon Wai menambah, sejak 1923, seramai 47 juta pengunjung Bukit Bendera direkodkan.
"Setiap tahun, lebih satu juta pengunjung mengunjungi pusat peranginan yang terletak di Air Itam itu. Kebanyakan mereka adalah pengunjung yang bukan pertama kali datang ke situ.
"Ini menunjukkan, mereka (pengunjung) kembali ke Bukit Bendera kerana terpesona dengan keindahan di situ. Jumlah pengunjung yang direkodkan jelas menunjukkan Bukit Bendera adalah salah satu tarikan utama di Pulau Pinang," katanya.
Tambah beliau, kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan, antaranya Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Projek ini akan memberi satu pengalaman baru kepada pelancong Bukit Bendera setelah ia siap kelak," katanya.
Sebelum ini, akhbar harian Amerika, USA Today mengeluarkan artikel yang menyenaraikan 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.
Perangkap Pelancong ini memberi gambaran kepada destinasi yang lazimnya mengenakan bayaran berlebihan kepada pelancong.
Senarai ini bertujuan untuk memberi informasi kepada pelancong dengan maklumat yang mereka perlukan sebelum merancang untuk melawat destinasi pelancongan yang popular.
Dalam artikel itu, penerbitan itu turut menyenaraikan 100 tarikan paling mahal dan 100 tarikan teratas paling dinilai tinggi di seluruh dunia berdasarkan analisis mereka terhadap 23.2 juta ulasan Google.
Bukit Bendera termasuk dalam senarai tersebut, malah USA Today turut meletakkannya sebagai perangkap pelancong terburuk di Asia dan kesembilan di dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!