'Warga asing merayu, minta belas kasihan'
KUALA LUMPUR - Penunggang motosikal warga asing merayu meminta simpati untuk tidak diambil tindakan selepas kenderaan mereka disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar ibu negara, pada Isnin.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, Op Motosikal bermula jam 8 pagi itu bertindak menyita 32 motosikal dan sebuah kereta.
Katanya, motosikal yang disita itu kebanyakan ditunggang oleh warga asing.
"Mereka dikesan tidak mempunyai lesen memandu selain cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
"Mereka ini beri alasan sudah duduk lama di sini (Malaysia), minta belas kasihan dan hanya mahu cari makan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambahnya, sepanjang operasi ini, JPJ Kuala Lumpur turut mengeluarkan 651 saman atas pelbagai kesalahan seperti kesalahan teknikal serta nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi.
Beliau berkata, strategi penguatkuasaan secara berfokus dilaksanakan dengan tumpuan utama kepada pengendali motosikal bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan pengendali atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Katanya, tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
"Pelaksanaan operasi ini antara usaha JPJ Kuala Lumpur dalam meningkatkan kesedaran kepada penunggang serta pembonceng motosikal betapa pentingnya memastikan keselamatan jalan raya bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!