Bekas Pengerusi MCPF KL dibebas kes pecah amanah dana yayasan

Bekas Pengerusi MCPF KL dan seorang penceramah pencegahan jenayah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa, daripada pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan dana yayasan itu berjumlah RM195,000, empat tahun lalu.
Bekas Pengerusi MCPF KL dan seorang penceramah pencegahan jenayah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa, daripada pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan dana yayasan itu berjumlah RM195,000, empat tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur (MCPF KL) dan seorang penceramah pencegahan jenayah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, daripada pertuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan dana yayasan itu berjumlah RM195,000, empat tahun lalu.

Hakim, Datin Sabariah Othman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Bok Siew Mun dan Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir di akhir kes pendakwaan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Sabariah berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan satu elemen berkaitan pecah amanah yang mana Siew Mun iaitu tertuduh pertama merupakan seorang ejen (bekas pengerusi MCPF).

Bagaimanapun beliau berkata, mereka gagal membuktikan tiga elemen utama lain, iaitu sama ada tertuduh ini mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap wang berkenaan atau sebaliknya.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa tertuduh ini mempunyai niat curang untuk melakukan pecah amanah, semasa meluluskan pengeluaran wang tersebut kerana kesemua proses telah dibuat di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa MCPK KL.

"Bukan itu sahaja, terdapat beberapa keterangan saksi pendakwaan yang bercanggah dan mempunyai versi berbeza, justeru mahkamah mendapati kes pendakwaan lemah serta gagal dibuktikan.

"Elemen bersubahat juga gagal dibuktikan sama ada tertuduh kedua (Saiful Hamiruzzaman) mempunyai niat bersama membantu atau berkonspirasi dalam pecah amanah bersama tertuduh pertama,” katanya.

Sebelum ini, kes terbabit dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala peguam, Fahmi Abd Moin mewakili kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Kes itu bermula dibicarakan pada 28 Oktober tahun lalu dan pihak pendakwaan menutup kes pada 12 Julai lalu, selepas memanggil 13 saksi memberi keterangan.

Siew Mun sebagai pengerusi MCPF KL yang diamanahkan penguasaan ke atas harta iaitu dana yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah dana yayasan dengan mengarahkan bayaran secara cek berjumlah RM195,000 kepada Syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd di Maybank Berhad, Cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini pada 26 Februari hingga 31 Mei 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Saiful Hamiruzzaman didakwa bersubahat dengan Bok untuk melakukan pecah amanah berkaitan dana yayasan sama dengan mengemukakan invois milik Syarikat Trio Green dan menandatangani baucer bayaran yayasan itu pada tempat dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.