Produk Gardenia naik 10 sen hingga 20 sen Oktober ini
SHAH ALAM - Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) mengesahkan beberapa produk terpilih keluarannya akan dijual pada harga baharu membabitkan kenaikan antara 10 sen hingga 20 sen bermula 1 Oktober ini.
Pihak Gardenia KL memaklumkan telah menyemak semula 30 produk terpilih antaranya Gardenia Bun Sambal Bilis daripada RM1.50 kepada RM1.60, Gardenia Twiggies choc-a-lot RM2.00 kepada RM2.10, Gardenia Waffles chocolate RM1.50 kepada RM1.60 dan Gardenia QuickBites (semua perisa) RM1.10 - RM1.60 kepada RM1.20 ke RM1.70.
"Walau bagaimanapun, harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast'em kekal dengan harga lama untuk memastikan kenaikan ini tidak membebankan majoriti pelanggannya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya, ini termasuklah roti putih Original Classic 400 gram dan Original Classic Jumbo 600 gram yang masing-masing masih dijual pada harga RM3 dan RM4.40 sebungkus.
Difahamkan kali terakhir Gardenia menyemak harga produk keluarannya adalah pada September tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!