ISKANDAR PUTERI - [DIKEMASKINI] Niat baik seorang wanita menumpangkan pengawal keselamatan yang bekerja di Tanjung Kupang, di sini bertukar tragedi apabila dia dicabul dan disamun dalam kejadian lewat malam, kelmarin. Suspek warganegara Nepal berusia 30-an itu menyerang mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai jurujual dengan merentap baju sebelum memasukkan tangan ke dalam skirt mangsa. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek menarik baju mangsa dengan kuat ketika tiba di Lebuhraya Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini. "Pada 12 Mei lebih kurang jam 10.15 malam, mangsa dalam perjalanan pulang kerja telah tumpangkan pengawal keselamatan warga Nepal itu di tempat duduk belakang. "Sampai di PTP, tiba-tiba lelaki tersebut telah menarik baju pengadu dengan kuat dan berpindah ke tempat duduk hadapan lalu memasukkan tangan dalam skirt pengadu dan terkena paha," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Akibat kejadian itu, Mukhtar berkata, kereta dipandu mangsa telah terlibat kemalangan dengan kenderaan lain dan suspek melarikan diri dengan telefon bimbit milik mangsa. "Apabila suspek mencabulnya, mangsa telah menarik stereng kereta hingga berlaku pelanggaran dengan kereta lain. "Suspek telah meninggalkan beg galas yang dibawanya di dalam kereta pengadu dan terdapat dokumen dipercayai milik suspek," katanya Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/354 Kanun Keseksaan.