'Bukan hak Ahmad Fadhli nak tentukan calon bertanding' - Ahmad Said
KUALA TERENGGANU - Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menempelak kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta beliau bertanding di kerusi Parlimen Kemaman sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Ahmad menegaskan Ahli Parlimen Pasir Mas itu tidak sepatutnya mencampuri urusan UMNO dalam menentukan pemilihan calon yang akan bertanding pada PRK nanti.
"Itu bukan hak dia (Ahmad Fadhli) nak tentukan siapa yang bertanding. Dia tiada hak nak cakap macam tu.
"Ini (urusan UMNO) bukan parti dia. Kita ada proses menerusi pucuk kepimpinan di mana pucuk kepimpinanlah yang akan tentukan siapa akan bertanding pada PRK nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Ketika ditanya sekiranya Ahmad ingin bertanding sekali lagi pada PRK nanti, bekas Menteri Besar Terengganu itu enggan memberi komen berhubung perkara tersebut.
"Tiada komen. Keputusan daripada kepimpinan parti siapa yang akan bertanding di PRK Kemaman nanti," ujarnya.
Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.
Pada hari sama, Ahmad Fadhli meminta Ahmad bertanding di kerusi Parlimen Kemaman sekiranya berlaku PRK di kawasan berkenaan.
Beliau secara peribadi berpandangan bahawa pemimpin UMNO itu adalah individu paling layak menjadi calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk berdepan sekali lagi dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!