73 tahun di persada perjuangan

A
A
A

SABTU lalu 11 Mei 2019, genap usia 73 tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. 73 tahun adalah satu tempoh masa yang lama. UMNO telah melalui pelbagai episod sejarah politik yang berwarna-warni.

Dari hanya sebuah pertubuhan Melayu yang disatukan dari setiap negeri, daerah dan kepimpinan, UMNO bertukar menjadi sebuah parti politik yang berdaftar dan menyertai Pilihan Raya Umum sejak 1955 lagi.

Menariknya, pada 1951 alim ulama daripada UMNO keluar parti dan mengaktifkan Pas sebagai sebuah badan politik. Terdahulu Datuk Onn turut keluar UMNO dan menubuhkan IMP. Boleh dikatakan hampir kesemua pergerakan politik orang Melayu selain UMNO selepas merdeka adalah berpunca dan DNAnya daripada UMNO.

Daripada Pas, Semangat 46, PKR dan terkini Bersatu adalah berpunca kemelut dalaman UMNO. Biarpun HAMIM, Berjasa dan Amanah berpunca daripada Pas, namun jika disoroti sejarah, Pas juga berpunca daripada UMNO.

Meskipun secara teknikalnya, pendaftaran UMNO terbatal pada 1988, namun pendaftaran semula UMNO (baharu) masih pada asas, kerangka dan falsafah perjuangan politik yang sama serta menggunakan nama yang sama.

UMNO telah melalui era pengasasnya Datuk Onn, era mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman, era pembangunan negara oleh Tun Abdul Razak, era perpaduan Tun Hussein dan era pemodenan Malaysia oleh Tun Dr Mahathir.

Kesemua era ini boleh dikatakan sebagai satu fasa pertama yang penting kepada UMNO yang menikmati kemuncak kepimpinan kuasa dan kemakmuran ekonomi.

Manakala fasa kedua kekuasaan UMNO bermula pada era Tun Abdullah yang diuji dengan kemenangan besar parti pada Pilihan Raya Umum 2004. Namun kelekaan yang telah mula dibina sejak akhir era kepimpinan Dr Mahathir mulai dirasai apabila parti mengalami kemerosotan kuasa dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Artikel Berkaitan:

Apabila kepimpinan parti dan negara beralih kepada Datuk Seri Najib, UMNO telah ditekan dengan pelbagai ujian. Biarpun mampu mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Umum 2013, namun badai yang melanda parti bagaikan tiada penghujungnya.

Perubahan ekosistem politik berasaskan arus media sosial membina satu persepsi yang negatif kepada UMNO. Akhirnya setahun yang lalu, pada Pilihan Raya Umum 2018, UMNO mengakhiri episod penguasaannya sebagai parti teras pentadbiran negara. Kejatuhan tersebut sebenarnya mengakhiri fasa kedua perjuangan selepas 60 tahun menguruskan negara.

Kini, bermulalah fasa ketiga dalam perjuangan parti. UMNO perlu menjadikan segala yang berlaku ini sebagai satu iktibar daripada proses sejarah yang panjang.

Jika kerajaan Umayyah mengalami kejatuhan di Damsyik, maka DNA dan wajah Umayyah itu bangkit kembali dan membentuk kerajaan yang lebih kuat dan hebat di Andalus.

Begitu juga dengan UMNO, parti besar orang Melayu ini perlu membina kembali kekuatan jati dirinya untuk tampil lebih bertenaga dan diterima rakyat.

Kekuatan kepada UMNO adalah akar umbinya yang setia. Biarkan pemimpinnya silih berganti. Namun cawangan dan bahagiannya perlu terus teguh untuk bangkit. Pastinya falsafah perjuangan UMNO tidak pernah berubah. UMNO konsisten dan bertekad untuk mempertahankan Islam, hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu.

Namun UMNO juga perlu bertekad untuk melahirkan kepimpinan yang mempunyai daya juang dan jati diri yang tinggi, menghayati perjuangan Islam dan pada masa sama bercirikan Malaysia. Bersama Pas kini dan rakan-rakan dalam BN, UMNO perlu mempersiapkan seluruh kekuatannya.

Membina generasi dan menyemai kembali idealisme jati diri parti serta menyuntik nilai integriti dalam kalangan ahli dan pemimpin adalah prasyarat utama yang perlu dicapai oleh UMNO supaya terus diterima sebagai wadah orang Melayu dan pembela rakyat.

Masa terbentang luas di hadapan, moga UMNO terus bangkit untuk Malaysia yang lebih baik dan sejahtera.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!