Trump dikecam selamba beli pistol

Trump menyatakan sebanyak dua kali tentang hasratnya untuk membeli pistol berkenaan. - Foto: Agensi
Trump menyatakan sebanyak dua kali tentang hasratnya untuk membeli pistol berkenaan. - Foto: Agensi
A
A
A

COLUMBIA – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dikecam banyak pihak gara-gara klip video dimuat naik jurucakapnya yang menunjukkan beliau membeli sepucuk pistol Glock.

Akhbar The New York Times melaporkan rakaman kontroversi itu dikongsi di platform X ketika bilionair hartanah itu membuat pembelian tersebut di cawangan Palmetto State Armoury di Summerville, Carolina Selatan.

"Saya mahu dapatkan satu," kata Trump sebanyak dua kali menerusi klip tersebut disertakan kapsyen oleh jurucakapnya, Steven Cheung, 'Presiden Trump beli @GLOCKInc di Carolina Selatan!'.

Selepas dua jam, rakaman tersebut bagaimanapun dipadam oleh Cheung secara tiba-tiba setelah isu itu mula dipersoalkan dan menjadi topik perdebatan hangat pengguna media sosial.

Beliau cuba menyembunyikan kebenaran apabila menafikan Trump membeli senjata api tersebut.

"Pemimpin itu hanya bergurau mahu mendapatkan sepucuk pistol berkenaan," katanya yang dilihat sebagai cubaan untuk berdalih.

Di bawah Undang-undang Senjata Api Persekutuan, 18 USC Sekysen 922, tindakan menjual senjata api kepada individu yang berdepan dakwaan jenayah boleh dikenakan hukuman penjara lebih 12 bulan.

Selain itu, defendan juga dilarang menghantar atau menerima sebarang senjata api merentasi sempadan negeri. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!