Lawatan PM: Tindakan susulan kenal pasti pelaburan akan diambil

Anwar (tengah) dan Wan Azizah disambut oleh Fahmi (kanan) sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini. - Foto Bernama
Anwar (tengah) dan Wan Azizah disambut oleh Fahmi (kanan) sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat (AS) pada 20 hingga 24 September yang berakhir dengan jayanya, akan disusuli dengan tindakan mengenal pasti peluang pelaburan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, fokus kementeriannya adalah ekonomi digital dan peluang itu dilihat banyak dalam bidang berkenaan.

"Saya akan bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berbincang mengenai peluang yang ada, kerana kita sudah pasti ingin jadikan Malaysia hub digital dan bukan sahaja hub pemprosesan data. Saya percaya Malaysia mampu jadi harimau digital Asia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut kepulangan Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Anwar berada di AS bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.

Fahmi berkata, tiga dokumen besar negara iaitu Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan memberi peluang kepada Jemaah Menteri untuk mencari pelabur bagi sektor tertentu.

Mengenai lawatan kerja Perdana Menteri ke AS, Fahmi menggambarkan lawatan itu berjalan dengan baik dan penampilan Anwar dialu-alukan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas 25 tahun, yang merupakan saat bersejarah.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dari Wisma Putra, para diplomat dan duta; mereka memberikan respons positif terhadap lawatan Anwar, dan menurutnya pihak yang mengatakan kononnya lawatan Anwar ke AS tiada penerimaan, sebenarnya hanya menabur fitnah dan tidak bercakap benar.

Artikel Berkaitan:

Fahmi berkata, Kenyataan Negara yang disampaikan Anwar telah menimbulkan suasana positif dalam kalangan komuniti masyarakat antarabangsa.

Sewaktu menyampaikan Kenyataan Negara, Anwar menyatakan kebimbangan terhadap konflik global di seluruh dunia seperti di Palestin, Ukraine, Afghanistan serta Myanmar, Perdana Menteri juga menyentuh isu berkaitan krisis iklim, pembangunan mampan (SDGs), Islamofobia dan Malaysia Madani.

Fahmi berkata, wawancara Anwar bersama media antarabangsa dan pertemuan dengan 15 syarikat besar akan membawa peluang pelaburan ke Malaysia.

"Ini akan memberi peluang kepada para pelabur memahami dengan mendalam bagaimana Malaysia berubah dan semakin stabil serta memberi ruang luas kepada pelabur pertimbang Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!