LTdL, KLSCM 2023: Beberapa laluan utama ditutup, dilencongkan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa jalan utama sekitar ibu kota akan ditutup serta dilencongkan bagi penganjuran Larian Kuala Lumpur Standard Chatered Marathon (KLSCM) 2023 dan kejohanan lumba basikal bertaraf antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTDL) pada 30 September, 1 Oktober dan 30 Oktober ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, KLSCM akan memulakan acara di Dataran Merdeka dengan penyertaan sebanyak 25,000 orang dan melibatkan beberapa jalan akan ditutup serta dilencongkan bermula jam 12 tengah malam sehingga jam 11 pagi.

"Sebanyak 12 jalan akan ditutup pada 30 September ini antaranya melibatkan Jalan Raja Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail - Jalan TAR, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang arah Pusat Bandar, Jalan P. Ramlee, Jalan Kuching menuju ke Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen (kedua arah), Jalan Kinabalu menuju Bulatan Dato Onn, Jalan Cenderawasih ke Jalan Lembah dan Bulatan Hishamuddin ke Jalan Raja.

"Pada 1 Oktober pula dijalankan acara penutupan melibatkan KLSCM melibatkan penutupan 29 jalan antaranya Jalan Raja Dataran Merdeka, Bulatan Dato Onn ke Jalan Tun Perak, Jalan Raja Laut, Jalan TAR ke Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang ke Jalan Tun Perak dan beberapa jalan terlibat.

"Selain itu penutupan turut melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Sentul ke Jalan TAR, Jalan TAR dari Bulatan Pahang, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dari Chow Kit ke Persimpangan Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Abdullah sehingga ke Jalan Sultan Ismail, sepanjang Jalan Sultan Ismail dan beberapa jalan sekitar ibu kota," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, bagi LTdL yang bermula pada 23 Oktober lalu di Kerteh, akan berakhir di KLCC, Kuala Lumpur pada 30 Oktober ini, akan melalui beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, ia melibatkan penutupan sembilan jalan utama antaranya Jalan Jelatek ke Jalan Ampang Pusat Bandar dan ke Jalan Kampung Pandan, dari Jalan Kampung Pandan ke Jalan Ampang Pusat Bandar dan ke arah Pusat Bandar Ampang.

"Selain itu, laluan turut melibatkan dari arah Jalan Ampang Hilir ke Jalan Ampang Pusat Bandar dan ke arah Pusat Bandar Ampang, dari arah Pusat Bandar Ampang ke Jalan Ampang Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak ditutup ke Jalan Ampang bermula di hadapan bangunan PNB, Jalan Tun Razak dari arah Timur ditutup untuk ke persimpangan Jalan Ampang dan beberapa laluan lain sekitar ibu kota," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua penutupan dan lencongan jalan tersebut akan bermula pada jam 3.15 petang sehingga jam 4.15 petang.

"Orang ramai khusunya pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dan memberi kerjasama bagi memastikan kelancaran aliran trafik kawasan tersebut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik KL di talian 03-20719999 / 03-20719777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!