Sampai bila nak bergantung pekerja asing

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SETAKAT 18 Mac lalu, Kementerian Sumber Manusia meluluskan sebanyak 1.136 juta kuota penggajian pekerja asing untuk enam sektor pekerjaan di negara ini.

Enam sektor yang dimaksudkan ialah pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Jumlah tersebut jelas menunjukkan kebergantungan kita kepada dunia luar masih lagi terdesak dan tidak keterlaluan dikatakan berada pada tahap hampir kritikal.

Sekiranya sektor pekerjaan didominasi warga asing ini dapat diisi rakyat tempatan, pasti akan memberikan impak besar terhadap negara khususnya usaha mengurangkan kadar pengangguran.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan namun masih belum nampak tanda-tanda positif untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Sehingga kini, enam sektor ini sukar untuk digantikan dengan buruh tempatan dan masih digerakkan tenaga import.

Tidak dinafikan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan untuk memastikan rakyat tempatan mendapat peluang pekerjaan, tapi entah di mana silapnya sektor ini tetap tidak mendapat tempat dalam kalangan warganegara kita sendiri.

Adakah faktor gaji kecil atau rakyat Malaysia sendiri 'manja' kerana tidak boleh kerje berat dan kotor?

Artikel Berkaitan:

Sekiranya masalah ini tidak ditangani segera, dibimbangi kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah lain yang melibatkan pekerja asing pada masa hadapan.

Antara kesan yang sudah kita nampak sekarang ialah kebanjiran warga asing di satu-satu kawasan sehingga seolah-olah wujud perkampungan baharu negara asing.

Itu yang berekod, belum lagi kemasukan pendatang asing tanpa izin sampai beranak-pinak tinggal di bumi Malaysia.

Lihat di kedai-kedai makan, boleh dikatakan sebahagian besar majikan menggajikan pekerja asing, malah ada antaranya datang ke negara ini secara haram.

Negara juga terdedah dengan kegiatan jenayah dilakukan warga-warga asing sehingga kita sebagai penduduk asal pula takut kepada mereka.

Sistem ekonomi negara juga terkesan kerana penggunaan pekerja asing ini menyebabkan pengaliran wang keluar negara setiap tahun mencecah hampir RM34 bilion.

Jadi, sampai bila kita harus tunggu dan terus mengambil sikap berlembut terhadap perkara tersebut.

Sudah sampai masanya kerajaan mencari solusi agar negara tidak lagi bergantung kepada tenaga buruh luar lagi pada masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!