Ibu jadi inspirasi Cef Wan perangi kanser

Chef Wan ketika sesi sidang media baru-baru ini.
Chef Wan ketika sesi sidang media baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara atau Pink October, cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan menyeru semua pihak bersatu untuk memerangi kanser.

Cef Wan, 65, menerusi Chef Wan Group of Restaurants (CWGR) mengambil bahagian untuk melancarkan kempen Pink October, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kanser payudara dan menjana dana untuk penyelidikan kanser.

“Tahun ini, kami dedikasikan usaha kami untuk melawan kanser buat ibu saya, Cik Ani, seorang yang berani, meninggal dunia akibat kanser payudara. Perjuangannya melawan kanser payudara memberi kami pengajaran berharga, kesedaran dan pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa, termasuk mereka yang berisiko sederhana.

"Impak kisah Cik Ani sangat mendalam, menjadikan komitmen kami terhadap tujuan ini lebih peribadi. Dia tidak pernah berputus asa dan bertekad untuk melawan kanser sepanjang hayatnya. Ini memberi saya harapan dan inspirasi dalam perjuangan saya sendiri terhadap kanser.

"Namun misi kami melangkaui tujuan kesedaran semata-mata. Di Chef Wan Group of Restaurants, kami mengubah setiap hidangan menjadi pengalaman seperti bersama keluarga. Oleh itu, Oktober ini, kami berharap dapat menawarkan rakyat Malaysia dengan sokongan emosi kepada mereka yang berjuang dengan kanser dan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus hidup dengan kehidupan dengan lebih sempurna," ujarnya yang kini sedang melawan dengan kanser limfoma.

Chef Wan kini tampil lebih selesa dengan imej botak tanpa perlu ditutupi rambut palsu.
Chef Wan kini tampil lebih selesa dengan imej botak tanpa perlu ditutupi rambut palsu.

Bagi menghargai ingatan sumbangan Cik Ani kepada kesedaran kanser, kempen itu akan menampilkan apron peringatan dan beg tote yang direka khas dan hasil jualan akan disumbangkan untuk penyelidikan kanser.

Di samping itu, CWGR akan memperkenalkan menu pencuci mulut merah jambu eksklusif diberi nama 'Pinky Promise', sepanjang kempen ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Cef Wan menerusi Instagram miliknya sempat berseloroh dengan imejnya yang kini botak kerana menjalani rawatan kemoterapi.

Beliau kini tampil lebih selesa dengan imej berkenaan tanpa perlu ditutupi rambut palsu.

“Apabila saya melihat foto dua selebriti Hollywood terkenal (Vin Diesel dan The Rock), saya fikir tidak mengapa jika botak. Mereka tetap kelihatan menawan.

“Saya ibarat menipu diri sendiri dengan memakai rambut palsu hanya untuk senyum walaupun saya tahu tampak buruk mengenakannya.

“Sebenarnya, saya yakin berjalan ke sana sini dengan imej botak tanpa perlu memikirkan pandangan orang lain,” luahnya yang sebelum itu berkongsi beberapa hantaran fotonya mengenakan rambut palsu.

Pada hantaran sama, beliau turut berkongsi perkembangan positif keadaan kesihatannya kini.

“Apa yang pasti doktor memaklumkan keputusan pemeriksaan darah saya berada pada tahap baik dan dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai rawatan kemoterapi kelima.

“Untuk dua minggu ini, doktor minta saya makan seperti biasa, tidur serta secukupnya dan sentiasa rajin bersenam untuk membina tenaga dan tingkat kekuatan dalaman,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!