[VIDEO] Replika wau gergasi curi tumpuan di Pelangai
BENTONG - Dua replika wau gergasi dengan lambang bendera Perikatan Nasional (PN) dan Pas di Felda Kemasul, Pelangai di sini mencuri tumpuan sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Salah satu replika bersaiz 25x28 kaki ditempatkan di persimpangan masuk Felda Kemasul, manakala satu lagi replika bersaiz 22x25 kaki ditempatkan di pekarangan kediaman penduduk.
Wau gergasi itu adalah hasil kerja tangan pesara tentera, Khairul Anuar Ab Hamid, 44, yang berasal dari Kelantan.
Menurutnya, dia melakukan persiapan untuk membuat replika wau gergasi itu sebelum Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh PRK tersebut lagi.
"Isteri saya orang felda ini, jadi apabila saya bersara tentera, saya terus menetap di sini.
"Saya nak bawa budaya kemeriahan pilihan raya seperti di Kelantan ke Pahang. Saya nak anak-anak muda di Pahang ini mengenali budaya dan tradisi ini," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, tempoh kira-kira seminggu diperlukan untuk menyiapkan setiap satu rangka replika yang diperbuat daripada buluh itu sebelum proses 'menyarung' lambang bendera dilakukan.
Katanya, kerja-kerja membuat rangka dilakukan sendiri manakala proses lain termasuk mengangkat dilakukan beramai-ramai dengan dibantu oleh kira-kira 20 anak-anak muda dan warga Felda Kemasul.
"Habis PRK nanti saya bercadang untuk pasangkan hiasan di wau gergasi ini untuk tarikan Felda Kemasul jika peneroka setuju," katanya.
Ditanya mengenai kos yang dikeluarkan, Khairul berkata, hampir RM1,000 modal diperlukan untuk setiap satu replika.
"Saya gunakan dana sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!