Mayat warga emas dengan kesan calar ditemui dalam semak

Sepasukan forensik menjalankan pemeriksaan pada mayat wanita warga emas di Bercham, hari ini.
Sepasukan forensik menjalankan pemeriksaan pada mayat wanita warga emas di Bercham, hari ini.
A
A
A

BERCHAM - Mayat seorang wanita warga emas dengan beberapa kesan calar dan luka ditemui terlentang dalam kawasan semak di Lebuh Bercham Selatan di sini hari ini.

Mayat tersebut disedari oleh salah seorang wanita yang terlihat suatu objek menyerupai manusia dari tingkat 10 kondominium bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dari orang awam pada jam 2.30 petang.

"Mayat tersebut merupakan seorang wanita dianggarkan berusia lewat 80-an yang masih lengkap berpakaian.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah, calar dan luka di anggota badan mangsa," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kes itu.

"Kita juga tidak menjumpai dokumen pengenalan diri bersama mangsa atau berhampiran lokasi mayatnya dijumpai.

"Mayat tersebut dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ali berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diterima.

"Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran atau hadir ke Jabatan Forensik HRPB untuk pengecaman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!