Skuad takraw perlu tampil lebih 'outstanding' berdepan Laos
PENGENDALI skuad takraw negara, Ahmad Jais Baharun mahu para pemainnya tampil lebih 'outstanding' apabila berdepan Laos dalam perlawanan separuh akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022.
Malah tegas bekas tekong negara itu, Laos mampu mengancam momentum positif Malaysia dalam dua perlawanan sebelum ini sekiranya regu memandang mudah keupayaan pasukan lawan.
"Pasukan Laos kita tidak boleh pandang rendah sama sekali kerana ketika berdepan Jepun, mereka telah menunjukkan banyak peningkatan dari segi sasaran serangan dan rejaman yang memberi satu petanda bahawa Laos akan bangkit dalam perlawanan separuh akhir.
"Isyarat juga kepada regu Malaysia untuk tampil lebih fokus dan berdisiplin dari aspek pertahanan serta serangan yang outstanding berbanding dua perlawanan peringkat kumpulan menentang Indonesia dan Korea Selatan sebelum ini," katanya.
Skuad takraw sebelum itu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan status juara Kumpulan B selepas menewaskan Korea Selatan, 3-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan.
Mengenai perlawanan berdepan Korea Selatan, Ahmad Jais berkata, dari segi prestasi semasa Korea Selatan lebih baik dari Indonesia, apabila mereka berjaya menewaskan lawan mereka, 2-1.
"Mereka tewas tie break tapi mereka berjaya menang dua regu dengan straight set dalam perlawanan tersebut.
"Kita pula bersiap sedia berdepan Korea Selatan selepas para pemain mengambil pengajaran ketika berdepan Indonesia biarpun diakui masih terdapat ruang-ruang lagi bagi penambahbaikan," katanya
Jelas Ahmad Jais lagi, pihaknya merancang meletakkan regu Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Farhan Adam sebagai regu pertama manakala Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir regu kedua dalam perlawanan menentang Korea Selatan.
"Ini kerana berdasarkan prestasi semasa kita dapat lihat regu Haziq lebih konsisten semasa perlawanan menentang Indonesia walaupun lawan mereka semalam tidak begitu tough tapi serangan dan pertahanan mereka lebih konsisten.
"Jadi kita letakkan sandaran kepada Haziq yang memiliki dengan kelebihan variasi servis yang baik dan kawalan bola pertama yang baik berbanding regu Syahir dan regu Muhammad Hairul Hazizi Haidzir, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi, bagi mendapatkan mata pertama negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!