Mungkinkah episod kemenangan PRK Kuala Terengganu berulang di Kemaman?

Hafarizam (tengah) ketika sidang akhbar di Mahkamah Kuala Terengganu pada Selasa.
Hafarizam (tengah) ketika sidang akhbar di Mahkamah Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

MUNGKINKAH episod kemenangan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu berulang kembali walaupun diadakan semula PRK Kemaman.

Ini kerana, selepas PRK Kuala Terengganu diadakan semula sebelum ini, kemenangan masih kekal menjadi milik Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim dari PN dan mungkinkah episod ini akan berulang bagi PRK Kemaman.

Pada Selasa, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman dari Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman.

Sebelum ini terdapat beberapa Parlimen difailkan petisyen yang melibatkan pembatalan keputusan kerana dakwaan berlaku sogokan seperti di Marang dan Kuala Terengganu.

Di Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen itu selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS itu pada PRU15 lalu.

Namun, bagi Parlimen Kuala Terengganu, mahkamah membatalkan kemenangan Ahmad Amzad selepas menerima petisyen yang difailkan calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong.

PRK Parlimen Kuala Terengganu itu kemudiannya diadakan semula serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Walaupun dua petisyen memihak kepada pemimpin politik, jika dilihat keputusan PRK di Kuala Terengganu, PRK semula kerusi tersebut tidak memberikan sebarang impak.

Persoalannya, adakah di Kemaman, keputusan akan berubah kerana momentum rakyat terhadap kawasan Terengganu itu iaitu PN masih kukuh.

Keputusan PRN Terengganu yang mempunyai 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) disapu bersih oleh PN dan ia menunjukkan sokongan kuat rakyat yang mengekalkan majoriti besar.

Ramai penganalisis politik percaya bahawa keputusan sama akan berulang.

Bagaimanapun, peluang BN-PH menang mungkin ada sekiranya parti itu mempunyai rancangan baharu atau pembaharuan naratif politik yang mendekati rakyat.

Selain itu, gabungan parti itu perlu menampilkan calon baharu berkualiti dan tidak 'kitar semula' yang banyak berlaku semasa PRN Terengganu.