Tradisi khidmat ibu susuan dalam komuniti Arab, Nabi Muhammad juga tidak terkecuali

ADA sebab mengapa Nabi Muhammad SAW mempunyai ibu susuan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
ADA sebab mengapa Nabi Muhammad SAW mempunyai ibu susuan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
A
A
A

SIRAH Rasulullah mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW mempunyai ibu susuan. Selain Sayyidah Aminah binti Wahab, ibunya sendiri, Tsuwaibah al-Aslamiyah dan Halimatus Sa’adiah nama yang begitu masyhur menyusukan Baginda.

Di antara mereka, insan paling lama menyusukan Baginda SAW ialah Halimatus Sa'adiah.

Barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa Rasulullah SAW mempunyai ibu susuan.

Memetik portal Kalam Sindonews, bangsawan Arab kerap menyerahkan bayi-bayi mereka kepada wanita di pedalaman untuk disusukan.

“Tujuannya supaya bayi tersebut terhindar daripada penyakit yang biasa tersebar di kota, selain fizikalnya boleh berkembang lebih sihat di tengah-tengah kawasan tersebut yang segar.

“Bahkan, cara itu juga melatih bayi-bayi mereka berbahasa Arab dengan fasih sejak kecil,” katanya yang memetik buku berjudul Sejarah Hidup Muhammad tulisan Muhammad Husain Haekal.

HALIMATUS SA'ADIAH dikatakan tercicir daripada rombongan ke Makkah ketika mencari anak susuan. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
HALIMATUS SA'ADIAH dikatakan tercicir daripada rombongan ke Makkah ketika mencari anak susuan. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Artikel Berkaitan:

Menurut penulis buku berkenaan, kanak-kanak yang dikirim di kawasan pedalaman itu biasanya akan kembali ke kota sekitar usia lapan atau 10 tahun.

Menerusi pembacaan Sinar Islam, Tsuwaibah al-Aslamiyah hanya menyusukan Nabi Muhammad SAW selama lapan hari ketika awal kelahirannya.

Dengan Halimatus Sa’adiah pula, Baginda disusukan sehingga usianya dua tahun.

Suatu perkara yang menarik perhatian, ibu susuan ketiga Nabi Muhammad SAW itu pada asalnya enggan menyusukan Baginda.

Bukan sahaja Halimatus Sa’adiah, tetapi sebenarnya semua wanita dari kaum Bani Sa’ad ibn Bakar yang mengambil upah menyusukan bayi enggan mengambil Rasulullah SAW sebagai anak susuan.

Ini kerana Baginda merupakan anak yatim. Mengikut kelazimannya, upah menyusukan golongan itu tidak seberapa dan belum tentu terjamin.

Demikian yang dilaporkan oleh portal Addeen.

Dipendekkan cerita, Halimatus Sa’adiah ketinggalan daripada rombongannya ketika ke Makkah untuk mencari anak susuan.

Sudahlah haiwan tunggangannya kurus dan lemah. Cuaca pula panas tidak terkata. Malah, pada masa sama, beliau turut membawa bayinya bernama Abdullah. Anaknya tidak henti-henti menangis kelaparan kerana susu ibunya sudah kering.

Akhirnya dengan rasa berat hati, Halimah mengambil juga Rasulullah SAW kerana tiada bayi lain lagi memandangkan beliau orang yang terakhir tiba.

“Sebaik sahaja beliau mengambil Rasulullah, susunya bertambah. Malah baik Nabi mahupun anaknya, semuanya dapat minum sehingga kenyang.

SEBAIK sahaja Halimatus Sa'adiah mengambil Rasulullah SAW sebagai anak susuan, susunya bertambah hinggakan Baginda dan anaknya dapat minum sehingga kenyang. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
SEBAIK sahaja Halimatus Sa'adiah mengambil Rasulullah SAW sebagai anak susuan, susunya bertambah hinggakan Baginda dan anaknya dapat minum sehingga kenyang. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

“Dalam perjalanan balik, keldai betinanya yang pada asalnya kurus bergerak pantas hingga meninggalkan rombongan kaumnya. Pendek kata, kehidupan Halimatus Sa'adiah dan keluarganya bertambah baik hari demi hari dek keberkatan Rasulullah SAW bersama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Addeen.

Menurut riwayat lain, Nabi Muhammad SAW dikatakan mempunyai 10 orang ibu susuan selain tiga nama disebutkan tadi. Namun sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Ini kerana ada di antara mereka yang dinilai kurang tepat dari segi fakta dan dalilnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!