United tutup mulut pengkritik
MANCHESTER United menutup mulut pengkritik selepas mara ke pusingan keempat Piala Liga dengan kemenangan 3-0 menentang Crystal Palace pada awal pagi Rabu.
Pengendali United, Erik ten Hag dan pemainnya telah dikritik selepas permulaan musim yang mengecewakan.
Bagaimanapun, selepas kemenangan tipis ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu, mereka berjaya memperoleh kemenangan kedua berturut-turut untuk mengurangkan tekanan ke atas pasukan itu.
Alejandro Garnacho meletakkan pasukan di depan pada separuh masa pertama dan Casemiro menggandakan kedudukan sebelum rehat, manakala Anthony Martial memastikan kemenangan selepas rehat.
Selepas United menjulang Piala Liga pada Februari untuk menamatkan kemarau trofi selama enam tahun, ia dilihat sebagai permulaan era kejayaan baharu di Old Trafford.
Namun, sebaliknya berlaku apabila United telah diselubungi oleh beberapa masalah di dalam dan di luar padang.
“Ia adalah malam yang baik. Saya rasa kami bermain agak baik dan kami menguasai permainan. Itulah yang kami cari.
“Kami membuat satu langkah ke hadapan di Burnley dengan cara kami bertahan dan hari ini kami membuat satu lagi langkah. Masih banyak perkara positif yang akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!