Suami berkorban jaga isteri terlantar
SUNGAI PETANI - Seorang wanita warga emas sebak mengenangkan dirinya yang terlantar serta perlu bergantung harap kepada suami sepanjang masa sehingga menyebabkan ketua keluarga itu tidak dapat keluar bekerja bagi menyara kehidupan.
Santariyah Bakar, 65, dari Taman Sutera Jaya yang menghidap sakit tulang rawan tergelincir sejak 2013 berkata, hatinya semakin sayu apabila mereka tiada punca pendapatan serta mengharapkan sumbangan orang ramai semata-mata.
"Tak tahu nak mengadu pada siapa. Saya tak dapat uruskan diri, suami pula tidak boleh bekerja dan kena bantu walau nak ke tandas," jelasnya kepada kakitangan Econsave Bandar Puteri Jaya yang menziarahinya di rumah pada Isnin.
Suami Santariyah, Mahat Hashim, 70, berkata, sekiranya ada keperluan untuk keluar membeli barangan, dia perlu pulang segera kerana risaukan keadaan isteri sekiranya diserang penyakit secara tiba-tiba.
Keperitan yang ditanggung suami isteri berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor yang membawa barangan keperluan harian bernilai RM1,000.
Menurut Zamzuri, sumbangan Dana Econsave Prihatin itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung golongan berpendapatan rendah agar tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
"Barangan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin dan keperluan ini dijangka dapat digunakan untuk pasangan ini dalam tempoh sebulan dua," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Santariyah Bakar bernombor 020200-2050-8962.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!