Isu caj sos cili peket: Pekerja McDonald’s buat laporan polis

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Christopher Patit)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Christopher Patit)
A
A
A

MELAKA - Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang pekerja restoran makanan segera berhubung isu tular 10 peket sos cili dalam kejadian di sebuah restoran makanan segera di Ayer Keroh pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan polis itu dibuat pengadu berusia 19 tahun di Balai Polis Ayer Keroh pada Selasa, susulan insiden yang berlaku lebih kurang antara jam 10 hingga 11 malam di restoran makanan segera terbabit.

Menurutnya, pengadu membuat laporan polis kerana berasa terancam dan risau tentang keselamatan dirinya.

"Ini kerana lelaki tersebut telah membuat rakaman video yang terjadi dan tujuan laporan polis dibuat untuk merujuk kepada pihak syarikat.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan mahupun kerugian yang berlaku dan kes disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan McDonald’s Malaysia membuat laporan polis berhubung kejadian pekerja mengenakan caj sos cili peket kepada pelanggan yang tular baru-baru ini.

Menurut McDonald’s Malaysia, hasil siasatan dalaman dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat kesilapan awal di pihaknya yang memberikan jumlah sos cili tidak mencukupi.

Bagaimanapun, pekerja tersebut kemudiannya menyediakan peket sos cili tambahan dengan segera apabila diminta oleh pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!