RM20 juta persediaan untuk Tahun Melawat Perak 2024

Sze Yee (duduk, tengah) katanya ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
Sze Yee (duduk, tengah) katanya ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menerima peruntukan kira-kira RM20 juta sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, peruntukan tersebut melibatkan penyediaan sedia ada di dalam bajet tahunan sebanyak RM3.5 juta bagi tujuan promosi kepada Tourism Perak.

Menurutnya, kerajaan negeri juga turut meluluskan peruntukan khas RM7 juta yang mana RM3.8 juta bagi tujuan menaik taraf serta membaik pulih kemudahan tempat-tempat pelancongan di semua daerah manakala selebihnya untuk tujuan promosi.

"Kita juga telah memohon daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan mereka telah luluskan peruntukan tambahan RM9.09 bagi 35 projek termasuklah di Lenggong Geopark dan sebagainya.

"Peruntukan tersebut melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama sebanyak RM2.71 juta, fasa kedua sebanyak RM1.49 juta dan fasa ketiga sebanyak RM4.89 juta. Turut diluluskan adalah peruntukkan tambahan bagi tujuan promosi sebanyak RM 1 juta," katanya ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Sementara itu, Sze Yee berkata, pelbagai usaha telah dijalankan bagi mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 antaranya termasuklah melalui papan-papan iklan di pintu-pintu masuk ke Perak, iklan di dalam kenderaan perkhidmatan tren elektrik (ETS), program Familiarisation (Fam) Trip dan sebagainya.

Menurutnya, selain itu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga telah melancarkan perjalanan KTM Komuter antara Ipoh ke Butterworth yang mana tiga hentian baharu diperkenalkan iaitu di Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.

"Kita harap dengan sinergi ini mampu memajukan pelancongan di Perak. Kita juga berharap pihak KTMB dapat melanjutkan lagi perkhidmatan KTM Komuter sehingga ke Kampar.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kita ada kluster pelancongan baharu sedang naik di bahagian segi tiga Kampar, Batu Gajah dan Kinta. Ada pelbagai tempat pelancongan baharu seperti Rumah Lat, kapal korek TT5, Kellie's Castle dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Sze Yee berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Fiesta Warisan Budaya @ Sungai Siput yang akan berlangsung pada 8 Oktober depan di Laman Rekreasi Kampung Bahagian Sungai Siput.

Katanya, program tersebut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran agensi kerajaan, persembahan kebudayaan, sukan rakyat, permainan tradisional dan sebagainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!