Penyewa MPV cermin gelap ditahan polis
KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire bercermin gelap yang melarikan diri ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu minggu lalu.
Suspek yang juga penyewa kenderaan MPV itu ditahan polis dalam dua serbuan berasingan Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek pertama berusia 35 tahun ditahan di Jalan Imbi di sini pada jam 2.40 petang.
"Berdasarkan siasatan polis, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
"Suspek ke dua berusia 39 tahun ditahan pada jam 3.40 petang hari yang sama di Taman Taynton, Cheras dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Mazlan berkata, semua suspek direman enam hari bermula 10 Mei hingga lusa.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya.
Pada kejadian kira-kira jam 5.30 petang 8 Mei lalu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melakukan Op Tapis di lokasi berkenaan sebelum melihat kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.
Polis bagaimanapun cuba menghampiri kenderaan terbabit namun pemandunya memecut laju dan nyaris melanggar kereta polis yang diletakkan di lokasi berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!