DUN Perak lulus RUU Sumber Air Perak 2024
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Perak 2024 pada Rabu selepas dibahaskan selama dua hari ketika Mesyuarat Keempat Tahun Pertama DUN Perak.
Seramai 20 ADUN termasuk 10 wakil pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Sumber Air Perak 2023 bermula 25 September lalu sebelum penggulungan dibuat Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan enakmen diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui majoriti ADUN.
RUU Sumber Air Perak 2023 telah dibaca kali kedua dalam Persidangan DUN pada Isnin oleh Mohammad Nizar.
Ketika pembentangan RUU tersebut, Mohammad Nizar menyebut, Bahagian 5 di bawah perkara Penggunaan Sumber Air dan Pelesenan mengandungi peruntukan-peruntukan berhubung perkara penggunaan sumber air dan pelesenan, antaranya hak untuk menggunakan air tanpa lesen atau bayaran caj bagi maksud sara diri iaitu bagi penggunaan isi rumah (tidak melebihi 2,500 liter sehari bagi setiap seorang).
Turut disebut, bagi pertanian sara diri (tidak melebihi 15,000 liter sehari bagi setiap seorang) di bawah fasal 45, keperluan pemasangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pengendalian sukatan air di bawah fasal 46 dan, kuasa PBN untuk menetapkan caj, bayaran atau sumbangan bagi penggunaan sumber air di bawah fasal 47.
Enakmen itu antara lain bertujuan memastikan aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang membabitkan sumber air negeri dapat dipantau selain pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air melalui penubuhan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!