PM Anwar dijangka rasmi kongres minyak sawit antarabangsa

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2023 pada 7-9 November ini, akan mengetengahkan lebih 100 penceramah dan pakar terkemuka dunia yang bakal berkongsi mengenai trend serta cabaran terkini industri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan acara anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang juga pameran dan kongres minyak sawit terbesar dunia.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, lebih 2,000 peserta global akan menghadiri acara bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’ (Mengemudi Ketidaktentuan, Membina Daya Tahan).

"Antara penceramah PIPOC 2023 yang dikenali adalah Tan Sri Datuk Dr Yusof Basiron dari DIBIZ Global, Malaysia, yang akan membuat pembentangan mengenai teras tema tersebut.

"Barisan penceramah lain adalah Thomas Mielke dari Oil World, Jerman selain Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Parveez berkata, PIPOC 2023 turut melibatkan empat persidangan serentak yang membincangkan topik penting seperti kemampanan, keselamatan makanan dan penambahan nilai.

"Sebagai kongres dan pameran sawit terbesar dunia, PIPOC menyediakan platform untuk interaksi, peluang rangkaian dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri sawit, daripada perkembangan dasar terkini kepada cabaran dan prospek industri itu,” katanya.

PIPOC 2023 turut merangkumi aktiviti menarik termasuk lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, kilang penapisan dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan untuk peserta.

Artikel Berkaitan:

Maklumat lanjut mengenai acara itu boleh diperoleh di laman sesawang http://pipoc.mpob.gov.my.- Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!