Banjir termenung di Kedah jika hujan berterusan - APM

Hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah di sepanjang Sungai Laka di Changlun dinaiki air. - Foto Bernama
Hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah di sepanjang Sungai Laka di Changlun dinaiki air. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menjangkakan kemungkinan berlaku banjir 'termenung' di Kedah apabila dijangkakan terjadinya pertembungan air banjir dan air pasang Jumaat ini, sekiranya hujan berterusan.

Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah Kapt (PA) Saifuddin Abdullah berkata, cuaca kembali cerah hari ini namun dikhuatiri jika hujan selepas ini ia akan menyebabkan banjir di lima daerah dan lambat surut.

"Dalam pemerhatian saya cuaca kembali cerah hari ini dan berharap (ia) berterusan dan air dapat bergerak laju ke laut, namun kita juga bimbang situasi air pasang akan berlaku pada 29 September sehingga 2 Oktober, jadi saya harap air ini dapat surut sepenuhnya sebelum air pasang berlaku.

"Sekiranya air banjir bertembung dengan air pasang, banyak lagi penempatan boleh dinaiki air dan lebih ramai mangsa akan dipindahkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sungai Anak Bukit, Taman Aman di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pihaknya telah bersiap sedia dengan kekuatan aset darat dan air bagi menghadapi situasi banjir di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Kuala Muda.

Setakat ini pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena.

"Aset darat membabitkan 12 lori, 12 pacuan empat roda, van (dua) dan ambulans (lapan) dan aset air membabitkan 85 bot dengan kekuatan anggota seramai 603 orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bacaan paras air di empat sungai di negeri ini setakat pagi tadi mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Laka dan Sungai Bata di Kubang Pasu serta Sungai Pendang (Pendang) dan Sungai Anak Bukit (Kota Setar).

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 268 orang daripada 81 keluarga pagi tadi, berbanding 177 orang daripada 41 keluarga malam tadi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!