MB boleh dilantik dalam Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak - Saarani

Saarani (duduk, tengah) bersama ADUN kerajaan ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Rabu.
Saarani (duduk, tengah) bersama ADUN kerajaan ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak tetap boleh dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak meskipun Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Perak 2023 yang diluluskan tidak menyatakan secara spesifik mengenai kriteria individu untuk menerajui lembaga tersebut.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, RUU berkenaan dibuat untuk tidak mengikat menteri besar (MB) mesti menjadi pengerusi seperti RUU negeri lain bagi membolehkan individu lain dilantik.

Menurutnya, kuasa melantik pengerusi dan ahli lembaga berkenaan dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri yang terdiri daripada Exco kerajaan negeri.

"Pihak Berkuasa Negeri dari segi undang-undang adalah merujuk kepada barisan Exco kerajaan negeri, jadi dalam mesyuarat Exco boleh diputuskan untuk lantik MB. Tak ada masalah cuma kita tidak mahu ikat.

"Bila kita sebut MB, MB seorang sahaja, tidak ada orang lain yang boleh dilantik. Sedangkan lantikan terbuka dalam menjadikan Lembaga Pengurusan Sumber Air lebih efisien, tidak boleh kita semata-mata ikat dengan MB seorang," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di Bilik Sidang Media Dewan Undang Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Ditanya sama ada lembaga pengurusan tersebut boleh membuat keputusan penjualan air mentah ke negeri lain, Saarani berkata, perkara itu akan dibincangkan oleh lembaga berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut masih tertakluk kepada kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dalam sidang akhbar berasingan meluahkan kekecewaan apabila isu-isu dibangkitkan berkaitan RUU tersebut tidak mendapat perhatian sewajarnya untuk diterima dan dibuat pindaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu yang dibangkitkan termasuklah kuasa Pihak Berkuasa Negeri melantik pengerusi lembaga pengurusan yang sepatutnya ditetapkan hanya menteri besar sebagai pengerusi seperti di negeri-negeri lain.

Katanya, keputusan itu dibimbangi akan berlaku manipulasi terhadap sebarang keputusan yang dibuat di dalam lembaga pengurusan tersebut.

Persidangan DUN Perak pada Rabu telah meluluskan RUU Sumber Air Perak 2023 yang dibentangkan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

RUU yang dibentangkan Isnin lalu telah melalui proses tambah baik menerusi tujuh pindaan secara khusus termasuk dalam soal bidang kuasa dan keanggotaan lembaga pengurusan air, pengenaan caj dan penguatkuasaan undang-undang serta hal-hal berkaitan kepentingan awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!