Isu beras putih tempatan dapat perhatian petani Jerlun
JERLUN - Masalah bekalan beras putih tempatan yang menjadi isu sejak kebelakangan ini turut mendapat perhatian petani di kawasan Jerlun.
Seorang petani, Mohd Sobri Osman, 60, berkata, sebagai petani yang merupakan penyumbang kepada bekalan beras negara, dia musykil apabila muncul masalah bekalan beras putih tempatan.
"Kami ini buat bendang macam biasa saja, hasil pun tidak menurun mendadak sampai tiada langsung beras tempatan untuk dimakan.
"Anak saya yang duduk di Kuala Lumpur pun telefon mengadu beras tempatan habis di kedai," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Bagi Khashim Ismail, 67, dia akur apabila kerajaan menetapkan kouta import untuk menampung permintaan bekalan beras negara.
"Tetapi setahu saya hanya 40 peratus sahaja beras import dan 60 peratus lagi adalah beras tempatan. Namun situasi yang kita tengok sekarang dah macam 100 peratus beras import.
"Jadi saya harap kerajaan dapat kawal, macam saya sebagai petani dapat beli beras daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan harga RM20 bagi kampit 10 kilogram, tapi macam mana pula dengan golongan B40 yang bukan petani, mereka lagi tertekan," katanya.
Sementara itu, petani dari Kampung Kubang Jawi, Idris Halim, 62, berkata, pihak penguat kuasa perlu memainkan peranan penting dalam isu ini dan mengambil tindakan sekiranya ada yang bertindak menyembunyikan beras tempatan.
"Kita takut ada yang cuba ambil kesempatan, sebab beras ini makanan ruji kita, walaupun harga mahal orang ramai akan beli juga.
"Kalau dibiar berlarutan, harga beras boleh naik tanpa kawalan dan orang ramai juga yang tertindas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!