NETR, NIMP akan percepat peralihan, tingkat peluang pelaburan - BNM

Abdul Rasheed
Abdul Rasheed
A
A
A

PELAN Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dijangka dapat mempercepat peralihan negara dan membuka peluang pelaburan yang besar, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat berserta dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menumpukan usaha untuk merangka asas bagi ekosistem kewangan hijau yang kondusif bagi membantu peralihan yang adil dan teratur.

"Kita telah membangunkan rangka kerja dan instrumen praktikal seperti perubahan iklim dan taksonomi berasaskan prinsip, panduan sektor dan pengurusan risiko iklim serta dokumen dasar analisis senario sebagai panduan untuk industri dalam membina daya tahan iklim serta keupayaan menyumbang ke arah peralihan.

"Kestabilan makroekonomi, sektor kewangan yang kukuh dan stabil serta institusi penggubal dasar yang kukuh menjadi faktor penting yang menyokong pembangunan ekonomi Malaysia setakat ini,” katanya dalam ucapan beliau semasa sesi panel "Macro Resilience and Market Insights” "(Ketahanan Makro dan Pemahaman Pasaran” di Invest Malaysia New York anjuran Bursa Malaysia baru-baru ini.

Abdul Rasheed berkata, mandat BNM memperlihatkan komitmennya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Menurutnya, pertumbuhan Malaysia akan terus didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan pekerjaan dan gaji yang berterusan.

Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan berterusan projek prasarana dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk negara yang diumumkan baru-baru ini.

Keadaan kewangan domestik juga kekal kondusif menyokong pengantaraan kewangan dalam keadaan pertumbuhan kredit yang mampan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai ringgit, beliau berkata, walaupun nilai mata wang tempatan menyusut pada separuh pertama 2023, unit tempatan dan beberapa mata wang serantau telah mengukuh berbanding dolar AS sejak 1 Julai, 2023.

"Baru-baru ini, ringgit menambah nilai berbanding kebanyakan mata wang rakan dagangan utama.

"Pada masa depan, kami menjangkakan pemahaman lebih jelas mengenai penghujung kitaran dasar monetari ketat oleh bank-bank pusat utama akan memberikan sokongan kepada ringgit dan mata wang pasaran sedang pesat membangun secara umumnya.

"Saya ingin menegaskan bahawa nilai ringgit ditentukan oleh pasaran. Kehadiran kita dalam pasaran pertukaran asing hanyalah untuk mengelakkan turun naik yang berlebihan dan untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur. Kita tidak menyasarkan sebarang paras tertentu ringgit,” kata Abdul Rasheed.

Menurutnya, pelabur portfolio Malaysia dan pasaran kewangannya adalah progresif, dinamik dan disokong oleh pembangunan pasaran yang stabil

"Pasaran bon Kerajaan Malaysia menonjol sebagai salah satu yang terbesar dan paling maju di rantau ini.Ia kekal stabil dan cair dengan hasil sebenar yang menarik kepada pelabur,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!