Geng Achin akhirnya tumpas

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ( tengah) menunjukkan pistol dan dadah serta barangan yang dirampas polis dalam tiga serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ( tengah) menunjukkan pistol dan dadah serta barangan yang dirampas polis dalam tiga serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedar dadah yang dikenali sebagai Geng Achin dan aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar Kuala Lumpur ditumpaskan polis dalam tiga serbuan berasingan minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan berkenaan empat individu ditahan termasuk seorang wanita warga China.

Menurutnya, suspek pertama seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan pada Khamis lalu sekitar jam 9 malam di tepi Jalan Persiaran Segambut Utara, Segambut di sini.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek, Proton Saga FL polis menemui dadah disyaki ketamin seberat 75.02 gram (g).

"Hasil soal siasat dan dengan dipandu arah oleh suspek telah pergi ke rumahnya di rumah kedai empat tingkat di Jalan Ipoh di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan berkata, pemeriksaan lanjut di rumah suspek, polis menemui dadah disyaki ketamin (5.465 kilogram), methamphrtamine (455g), pil erimin 5 (230biji), nimetazepam (65g) dan pil yaba (20biji).

"Polis turut menyita wang tunai RM502 dan kereta suspek," katanya.

Mazlan memberitahu, susulan itu, polis melakukan satu lagi serbuan pada Jumaat lalu sekitar jam 1 pagi di sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini dan menahan sepasang kekasih.

Artikel Berkaitan:

"Suspek lelaki dipercayai dalang sindiket Achin berusia 39 tahun ditahan bersama kekasihnya wanita warga China berusia 50 tahun.

"Di kondominium berkenaan, polis merampas dadah disyaki ketamin (333.5g), pil ecstasy (68 biji), pil erimin 5 (30biji) dan cecair acetone.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk pistul jenis Glock bersama satu kelopak berisi 15 butir peluru.

"Tiga kenderaan suspek jenis Mercedes Benz CGI C250, Mercedes Benz Kompressor C200 dan Nissan Almera serta wang tunai RM15,500 dan 60 keping note 100 wang China turut dirampas," katanya.

Mazlan menambah, dan serbuan ke tiga dilakukan pada Jumaat jam 4.45 pagi di sebuah apartment di Jalan Sungai Besi di sini telah menahan seorang lelaki berusia 53 tahun.

"Hasil pemeriksaan polis merampas dadah disyaki methamphrtamine (1.035kg), wang tunai RM94,700 dan kereta jenis Toyota Camry.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas ke empat-empat suspek, semuanya positif dadah. Suspek pertama direman enam hari dan tiga lagi suspek direman selama lima hari bermula Jumaat lalu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Menurut Mazlan lagi, anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah dan barang sitaan berjumlah RM827, 542.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!