Ruhil Amani sudah empat tahun bergelar ibu tunggal
PENYANYI popular era 1990-an, Ruhil Amani akhirnya mengakui sudah bercerai dengan suaminya, Jamil Wilson sejak Mei 2019.
Jelas penyanyi yang terkenal dengan lagu Kawan itu, dia tidak mendedahkan perkara sebenar lebih awal kerana mahu melindungi anak-anaknya iaitu Ariana dan Raayan.
"Sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada semua kerana sebagai seorang ibu, tanggungjawab dan keutamaan saya adalah untuk melindungi anak saya, Ariana yang pada ketika itu berusia 15 tahun dan akan menduduki peperiksaan penting dan adiknya, Raayan baru sahaja berusia lebih kurang lapan tahun.
"Tumpuan saya adalah untuk memastikan mereka berdua dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baru kerana perceraian buat sesiapa saja, tidak akan pernah adil buat anak-anak," ujarnya.
Justeru selepas status perkahwinannya menjadi pertanyaan ramai, Ruhil mengambil langkah untuk berbincang dengan akan-anak dan akhirnya bersetuju untuk mendedahkan kisah yang sudah empat tahun disimpan bagi mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah.
Bagaimanapun wanita berusia 48 tahun itu lebih selesa untuk tidak membicarakan punca penceraian mereka dan dia bersama anak-anak sudah reda dengan percaturan oleh ALLAH SWT.
"Sejujurnya, dari awal penglibatan saya sebagai anak seni sehingga sekarang, saya lebih selesa memilih untuk berkongsi perjalanan hidup saya sebagai anak seni daripada berkongsi cerita tentang kehidupan peribadi saya.
"Saya dan anak-anak reda dengan percaturan ALLAH SWT dan alhamdulillah, berkat doa dan sokongan keluarga dan teman rapat, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa kehidupan kami yang baru.
"Saya juga sangat bersyukur kerana dianugerahkan ALLAH SWT anak-anak yang baik, kuat dan matang dari usia mereka," jelasnya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang memahami situasinya.
Untuk info, Ruhil mendirikan rumah tangga dengan Jamil pada tahun 2003 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ruhil Ariana Wilson, 19, dan Raayan Alexander Wilson, 12.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!