Carr takluk puncak Genting Highlands

Carr menjuarai Peringkat 5 LTdL 2023 dari Slim River ke Genting Highlands sebentar tadi.
Carr menjuarai Peringkat 5 LTdL 2023 dari Slim River ke Genting Highlands sebentar tadi.
A
A
A

PELUMBA EF Education-EasyPost, Simon Carr menepati statusnya selaku pendaki berkelas dunia apabila mengungguli perlumbaan Peringkat 5 dari Slim River, Perak ke Genting Highlands sebentar tadi.

Pada perlumbaan sejauh 126.4 kilometer (km) itu yang menyajikan dua zon pecutan - Tanjung Malim dan Gombak dan dua zon pendakian - Rawang Bypass dan Bentong itu, Carr merekodkan masa 3 jam 23 minit dan 06 saat (s).

Rakan sepasukan Carr, Alexander Jefferson Cepeda Ortiz menduduki tempat kedua dengan catatan 3:24:45s, manakala pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo Zapater di tempat ketiga, 3:24:54s.

"Ya sudah tentu ia satu pendakian yang cukup mencabar (tetapi) kami telah melakukam tugas dengan baik. Saya amat gembira kerana dapat menamatkan perlumbaan ini selaku juara.

"Bagi saya, kemenangan ini cukup bermakna, bukan hanya sebab perlumbaan ini tetapi juga motivasi untuk saya mencipta kemenangan buat datuk saya (Tonny) yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

"Dia adalah peminat utama saya dan saya benar-benar mahu memenangi perlumbaan ini untuknya," kata Carr kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan.

Kejayaan itu menyaksikan Carr kini menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan selepas merekodkan masa keseluruhan 19:25:10s, diikuti Cepeda (19:25:592s) dan Castrillo (19:26:08s).

Sementara itu, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn terus kekal menyarung Jersi Jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 30 mata.

Artikel Berkaitan:

De Kleijn diekori rapat pelumba Green Project-Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello yang mengumpul 29 mata, manakala pelumba Bolton Equities Black Spoke, George Jackson di tempat ketiga (27 mata).

Rakan sepasukan De Kleijn, Simon Pellaud pula mengekalkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) apabila mengumpul 32 mata, diikuti Carr (20 mata) dan Castrillo (13 mata).

Jersi Putih (Terbaik Asia) pula bertukar tangan kepada pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy yang merampasnya daripada Ratchanon Yaowarat (Thailand Continental Cycling Team).

Peringkat 6 pada Khamis bakal diadakan dari Karak ke Dataran Pahlawan, Melaka dengan jarak 174.5km membabitkan tiga zon pecutan - Pelangai, Batu Kikir dan Kuala Pilah dan dua zon pendakian - Gapoi dan Luak Inas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!